ATTIQ Iskandar  (tengah) ketika  menduduki SPM di SMK Kota, semalam.
ATTIQ Iskandar (tengah) ketika menduduki SPM di SMK Kota, semalam.
DigitalHM


BIARPUN orang kurang upaya (OKU) cacat pendengaran, Attiq Iskandar Bahari, 18, tetap bersemangat untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) fasa dua bermula, semalam.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota itu antara 229 calon yang menduduki SPM pada tahun ini dan satu-satunya Calon Berkeperluan Khas (CBK) di sekolah berkenaan.

Attiq Iskandar berkata, dia mengalami masalah pendengaran ketika berusia tiga tahun selepas terjatuh daripada tangga sehingga menyebabkan gegendang telinganya tercedera.

“Walaupun keupayaan diri saya sedikit terbatas berbanding rakan lain, saya tidak pernah menjadikan kekurangan ini sebagai penghalang untuk berjaya dalam hidup.

“Seperti rakan lain, saya juga melakukan persiapan sebelum menduduki peperiksaan dan setiap hari saya meluangkan masa antara dua dan tiga jam mengulang kaji pelajaran.

“Walaupun keputusan peperiksaan percubaan lalu tidak memberangsangkan, namun ia tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha sehingga tiba hari peperiksaan sebenar,” katanya.

Turut menjadi tumpuan pasangan kembar, Nur Amanini Abdul Rahman dan Nur Amanina Abdul Rahman yang masing-masing berusia 17 tahun yang juga antara pelajar harapan sekolah.

Menurut Amanini, sebulan sebelum menjelang peperiksaan, dia dan kembarnya hanya tidur lima jam sehari kerana mengulang kaji sehingga tengah malam dan sambung semula selepas solat Subuh sebelum ke sekolah.

“Bagi meningkatkan lagi daya ingatan dalam setiap mata pelajaran, kami menggunakan kaedah saling menyoal antara satu sama lain. Kami juga mengikuti kelas tambahan berbayar bagi mata pelajaran Matematik dan Matematik Tambahan.

“Pada percubaan lalu, saya memperoleh 7A, manakala Amanina pula mendapat 6A dan dari situ kami mula melipat gandakan usaha kerana menjadi calon harapan sekolah selain tidak mahu menghampakan harapan ibu dan ayah untuk melihat kami berjaya.

“Kami mahu berjaya seperti kakak (Nur Nabihah) yang memperoleh keputusan 11A dalam SPM 2017 dan dia kini sedang menyambung pengajian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA),” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMK Kota, Shamsul Bahari Jaafar berkata, pihaknya menjalankan pelbagai program sebagai persediaan untuk pelajarnya menduduki SPM.

“Kami mengadakan program mengulang kaji berfokus yang menumpukan kepada mata pelajaran teras dan kritikal. Dalam masa sama, kami juga menganjurkan kem motivasi secara berkala untuk menaikkan semangat pelajar.

“Pada tahun lalu, hanya seorang pelajar yang memperoleh semua A dan tahun ini kami menyasarkan sekurang-kurangnya tujuh pelajar mendapat keputusan sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 November 2019 @ 10:00 AM