ISLAM diangkat menjadi agama rasmi Malaysia.
ISLAM diangkat menjadi agama rasmi Malaysia.
Mohd Shahrizal Nasir

Sayangi Malaysia dipilih menjadi tema sambutan Hari Kebangsaan 2018. Tema itu dilihat sesuai dengan konteks Malaysia pada hari ini yang berdepan cabaran daripada segenap sudut.

Proses menjadikan Malaysia negara maju dengan ditadbir kepemimpinan baharu pastinya tidak sunyi daripada cabaran.

Banyak pihak berusaha menuntut hak masing-masing memandangkan ruang menzahirkan pandangan dan tuntutan terbuka luas.

Keunikan Malaysia yang terdiri daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan sememangnya menjadi kebanggaan setiap rak- yatnya yang sehingga kini hidup harmoni dan muhibah.

Walau apapun cabaran untuk mengekalkan keharmonian negara, setiap rakyat Malaysia perlu menjunjung perlembagaan yang menjadi tonggak keutuhan negara.

Dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia jelas menyatakan: “Islam ialah agama bagi Persekutuan; tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan” perlu menjadi pegangan setiap rakyat Malaysia.

Keakuran terhadap bait-bait ayat itu sebenarnya resipi keharmonian yang mewarnai kehidupan penduduk di negara bertuah ini.

Segala bentuk usaha untuk ‘memudarkan’ ungkapan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia perlu ditolak kerana ia pasti mengancam keharmonian negara.

Bagi meraih keharmonian dan keberkatan hidup bernegara, terlalu banyak ketetapan dan nilai murni ditekankan Islam kepada umatnya. Bermula dengan perbahasan mengenai tang-
gungjawab pemimpin yang adil sehinggalah kupasan mengenai peranan setiap individu dalam memastikan hubungan sesama manusia berada dalam keadaan baik.

Sifat sayang kepada negara bukan saja membabitkan rakyat jelata, tetapi juga peranan barisan tonggak kepemimpinan negara.

Setiap tindakan dan keputusan dibuat perlu mengutamakan kepentingan negara secara menyeluruh, bukan hanya meraikan kelompok tertentu kerana ingin meraih sokongan mereka.

Keadilan dalam membuat sebarang keputusan adalah perkara asas yang perlu menjadi keutamaan setiap pemimpin.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah an-Nisa’, ayat 58)

Dalam usaha memenuhi kehendak golongan minoriti yang menuntut perhatian dan kebebasan mengikut cita rasa mereka, pemimpin yang bijak perlu adil.

Memang benar dakwah itu ada pelbagai cara. Hal itu perlu dipastikan supaya tidak menggadaikan hak orang lain yang berpegang kepada prinsip Islam dan fitrah kehidupan normal.

Berpegang kepada prinsip keadilan tidak bermakna golongan minoriti perlu diutamakan, sebaliknya meletakkan setiap keputusan pada tempatnya yang betul.

Rakyat Malaysia berperanan besar dalam menzahirkan cinta dan sayang mereka terhadap negara ini. Peranan itu akan terlaksana sekiranya saranan Islam dapat diterapkan dalam menjaga hubungan sesama insan.

Keharmonian hanya tinggal kenangan sekiranya rakyat hidup dalam keadaan bersengketa, saling menyakiti, mengambil hak orang lain, menghina dan mencemuh sesama sendiri.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kamu melihat orang yang beriman dalam berkasih sayang, hubungan cinta mereka dan saling berbuat baik sesama mereka adalah seperti satu tubuh badan. Apabila ada bahagian tubuh yang berasa sakit, maka bahagian tubuh yang lain turut tidak boleh tidur dan demam.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Islam memberi formula kebahagiaan dan keharmonian hidup di dunia iaitu saling menjaga hak masing-masing. Pencerobohan terhadap hak manusia pastinya akan menyebabkan berlakunya persengketaan dan permusuhan.

Namun, perlu diingatkan hak yang dimaksudkan ialah seperti ditetapkan Islam dan fitrah kehidupan. Tidak boleh dibiarkan keharmonian itu bebas mengikut tafsiran pihak tertentu, lebih-lebih lagi yang cuba mengetepikan Islam sebagai agama rasmi negara.

Jangan kerana cintakan keharmonian dunia, ketetapan agama disisihkan hanya kerana ingin menjaga hati orang lain.

Meskipun Islam membuka ruang kepada toleransi, ia tidak boleh mencemari ketetapan agama. Sikap acuh tidak acuh mempertahankan Islam akan menjadikan umat ini seperti buih di lautan yang segera berlalu tatkala dipukul ombak.

Para sahabat bertanya keadaan umat Islam yang lemah berkemungkinan kerana bilangan sedikit pada ketika mereka diasak pelbagai pihak. Rasulullah SAW menjawab: “Ketika itu umat Islam ramai bilangannya, namun mereka menghidap penyakit ‘al-wahn’ iaitu cinta dunia dan benci mati.” (Hadis riwayat Abu Dawud)

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Ogos 2018 @ 12:06 PM