USAH jadikan alasan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan alasan untuk kita tidak berhubung dengan yang tersayang walaupun secara dalam talian.
USAH jadikan alasan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan alasan untuk kita tidak berhubung dengan yang tersayang walaupun secara dalam talian.
Dr Nor Hazrul Mohd. Salleh

ZIARAH-MENZIARAH adalah satu amalan yang disyariatkan, bahkan sangat digalakkan dalam Islam. Ziarah bukan amalan sempena hari raya sahaja. Amalan ziarah adalah wadah untuk mendekatkan yang jauh dan menambahkan kemesraan bagi yang sedia berada berdekatan. Namun, keterbatasan masa dan kesempatan menjadikan ramai yang sudah tidak memberikan perhatian dan tak mengambil berat mengenai perkara ini. Sedangkan menjaga dan merapatkan ukhuwah (ikatan silaturahim) adalah sangat dianjurkan oleh agama Islam.

Allah SWT berfirman: "Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan daripada kedua-duanya - zuriat keturunan - lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya serta peliharalah hubungan (silaturahim) kaum kerabat kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawasi) kamu."  (Surah al-Nisa', ayat 1)

Amalan berziarah khasnya untuk merapatkan hubungan silaturahim ini sangat dituntut dan besar fadilatnya di sisi Allah SWT. Terdapat pelbagai jenis ziarah yang dituntut dalam Islam. Antaranya ialah ziarah yang wajib. Iaitu menziarahi kedua-dua ibu bapa dan ziarah yang bertujuan mengukuhkan silaturahim. Di samping itu, ada juga ziarah yang disunatkan iaitu ziarah jiran, sahabat handai dan rakan.

Amalan berziarah ini biasanya menjadi kemeriahan pada musim perayaan, musim cuti dan sambutan majlis tertentu. Apatah lagi apabila menziarahi mereka yang menghadapi ujian dan musibah. Namun, sangat dikesali pada hari ini amalan ziarah-menzirahi ini semakin kurang berlaku lantaran kesibukan masing-masing dengan kerja harian dan komitmen yang banyak. Maka, amalan berziarah ini semakin terhakis. Ditambah lagi dengan suasana kawalan pergerakan yang sedang berkuat kuasa.

Penangan pandemik Covid-19 ini seolah-olah menambahkan lagi jarak antara hubungan yang sepatutnya didekatkan. Malah, dirasakan seolah-olah jika tidak bertemu fizikal, maka tidak bermakna ziarah. Sedangkan, kecanggihan teknologi pada masa kini sepatutnya diambil peluang oleh kita untuk terus menghidupkan amalan ziarah ini walaupun secara atas talian. Telefon pintar sekarang ini pun sudah boleh digunakan untuk video call (panggilan video) atau aplikasi seperti zoom atau google meet dan sebagainya.

Bukan sahaja boleh berbicara, malah boleh bersua muka. Tambahan lagi, kebanyakan masyarakat kita masa kini sama ada anak-anak di sekolah rendah, apatah lagi peringkat menengah dan universiti sudah biasa dan serasi dengan teknologi seperti ini. Mereka sudah menggunakannya dalam pembelajaran. Begitu juga dengan golongan dewasa yang menggunakannya dalam pelbagai aktiviti seharian mereka.

Rasulullah SAW bersabda (dalam hadis qudsi), bahawa Allah SWT berfirman: "Wajib (pasti) mendapat kecintaanKu bagi mereka yang ziarah-menziarahi keranaKu (kerana Allah), mereka yang berkasih-sayang keranaKu, mereka yang duduk bersama (dalam majlis) keranaKu dan mereka yang bantu-membantu keranaKu"- (Riwayat Ahmad). Malah, bagi mengukuhkan lagi pernyataan ini Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang lain: "Tidak masuk Syurga orang yang memutuskan silaturahim." (Riwayat Muslim)

Bermakna, ziarah-menziarahi dan menghubungkan silaturahim sangat dicintai oleh Allah SWT dan sangat dituntut dalam agama.

Oleh itu, janganlah pandemik dan situasi sekarang ini menjadi dinding atau batas yang menghalang kita daripada meneruskan amalan mulia ini. Kita tetap boleh berhubung untuk menguatkan lagi ikatan silaturahim terutama dengan ibu bapa, adik-beradik, ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan seperti biasa, tetapi dengan norma baharu. Mungkin tidak seperti biasa, namun sekuarang-kurangnya tetap dapat meneruskan amalan yang sangat terpuji ini. Di samping kelebihan yang akan didapati sangat lumayan.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang ingin diperluaskan rezekinya dan dipanjangkan umurnya, maka hendaklah dia menghubungkan silaturahim." (Riwayat Muslim)

Maka, sangat dianjurkan supaya kita terus menghubungkan silaturahim terutama dengan kedua-dua ibu bapa yang masih hidup. Mereka pasti sangat merindui kita. Kerinduan lantaran tidak dapat bersua dan bersama dalam suasana keraian tertentu seperti sambutan hari raya atau majlis keluarga seperti majlis perkahwinan dan sebagainya pasti sedikit terubat apabila kita berhubung secara maya. Pastinya juga akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah SWT. Setiap amalan yang baik akan mendapat pahala. Termasuk juga amalan 'ziarah-menziarahi' ini. Apatah lagi apabila kita berusaha menghubungkan silaturahim walaupun dalam suasana sukar seperti sekarang ini. Berusaha sekadar kemampuan kita untuk terus menghidupkan amalan ziarah ini dan menghubungkan silaturahim. Walaupun dalam keadaan dan peluang yang terhad. Kaedah umum mengatakan: "Apa yang tidak dapat diambil (dilaksanakan) keseluruhannya, janganlah ditinggalkan semuanya." 

Walaupun kaedah ini bukan hadis, tetapi ia menepati kaedah dalam agama. Malah, ia bertepatan dengan maksud seperti firman Allah SWT: "Oleh itu bertakwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu dan dengarlah (akan pengajaran-pengajaran-Nya) serta taatlah (akan perintah-Nya."   (Surah al-Taghabun, ayat 16)

Bahkan dikuatkan lagi dengan hujah bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: "Apa yang aku perintahkan kamu (melaksanakannya) hendaklah kamu berusaha melaksanakannya sekadar keupayaan kamu." (Hadis Muttafaqun 'Alaih)

Bermaksud perintah melaksanakan sesuatu daripada Allah SWT dan Rasulullah SAW adalah mengikut keupayaan dan kemampuan kita. Oleh itu, hendaklah kita berusaha dahulu dengan apa yang kita mampu untuk meneruskan amalan ziarah ini walaupun sekadar atas talian. Selepas situasi kembali kepada keadaan asal atau beransur baik, boleh kita meneruskan ziarah-menziarahi seperti biasa.

Apa yang perlu ditegaskan di sini ialah betapa pentingnya kita terus menghidupkan amalan ziarah demi menghubungkan silaturahim. Sama ada menziarahi kedua-dua ibu bapa, adik-beradik, sahabat-handai dan rakan taulan. Walaupun sekadar bertemu secara maya atas talian, tetapi pasti sedikit sebanyak menyuburkan perasaan kasih sayang dan mengukuhkan silaturahim sebagaimana dituntut dalam agama. Jangan jadikan alasan pandemik dan Perintah Kawalan Pergerakan alasan untuk kita tidak berhubung dengan mereka walaupun secara atas talian. Sekurang-kurang sebagai menyatakan tanda kasih dan cinta kita kepada mereka.

Rasulullah SAW menjanjikan: "Sesiapa yang menziarahi saudaranya kerana Allah, maka menjadi baiklah dia dan usahanya serta disediakan baginya satu tempat di Syurga." (Riwayat Tarmizi)

Penulis Pensyarah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Pusat Pendidikan Universiti Malaya, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 5:59 AM