Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Memasuki 15 tahun penganjurannya, program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Affin Islamic Bank Berhad melakukan kelainan dengan menyumbang komputer riba kepada 25 pelajar asnaf terpilih di Melaka, hari ini.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit berkata, selain komputer riba, pelajar turut diberi pakej pelan data Internet percuma selama setahun.

Menurutnya, objektif TKHM Bersama Affin Islamic kali ini adalah memudahkan aktiviti pembelajaran pelajar menengah atas serta memberi semangat kepada mereka untuk menuntut ilmu.

"Penularan wabak Covid-19 ketika ini menyebabkan pembelajaran dalam talian menjadi pilihan kepada dunia pendidikan.

"Namun tidak semua pelajar, lebih-lebih lagi daripada keluarga kurang berkemampuan, memiliki akses kepada teknologi untuk mereka belajar secara efektif seperti di dalam kelas.

"Misalnya ada keluarga terpaksa berkongsi satu peranti bersama empat orang untuk mengikuti Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR).

"Justeru, atas dasar keprihatinan ini, Harian Metro bersama-sama Affin Islamic Bank Berhad menghulurkan bantuan komputer riba bersama pakej Internet percuma setahun kepada mereka supaya tidak ketinggalan dalam pendidikan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, hari ini.

Affin Islamic Bank Berhad diwakili oleh Pengarah Perbankan Komunitinya, Nazri Othman manakala JPN Melaka diwakili oleh Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Karim Tumin.

Hadir sama, Pengarang Kanan Berita Harian Metro, Sufian Thauri Muhammed dan Pengarang Berita Harian Metro merangkap Pengarah Projek TKHM, Noor Azam Abd Aziz.

Mengulas lanjut Husain berkata, pihaknya sememangnya mempunyai perancangan memberi komputer riba kepada anak asnaf di setiap negeri dalam jangka panjang.

"Insya-Allah selepas ini ada lagi 25 anak asnaf di Negeri Sembilan akan menerima bantuan komputer.

"Memang Harian Metro dan Affin Islamic Bank Berhad ada perancangan untuk menyumbang komputer riba kepada 25 anak asnaf di negeri lain, namun buat permulaan kita fokus kepada Melaka dan Negeri Sembilan dulu," katanya.

 Nazri (dua dari kiri) ditemani Hussain dan Karim (kanan) menyampaikan komputer riba kepada pelajar. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.
Nazri (dua dari kiri) ditemani Hussain dan Karim (kanan) menyampaikan komputer riba kepada pelajar. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin.

Terdahulu dalam ucapannya, Husin yang juga Pengerusi Projek TKHM berkata, Harian Metro amat menghargai kerjasama erat bersama Affin Islamic Bank Berhad, selama ini untuk sama-sama berganding bahu menghulurkan bantuan kepada golongan memerlukan.

"Kerjasama antara Harian Metro dan Affin Islamic Bank Berhad terjalin sejak 2016 lagi yang mana Affin Bank dan Affin Islamic ketika itu menaja program Harian Metro Mountain Bike selama dua tahun berturut-turut.

"Sejak itu, hubungan baik antara dua pihak diteruskan melalui program TKHM Bersama Affin Bank dan Affin Islamic.

"Harapan kami semoga hubungan yang erat ini akan berterusan pada masa-masa akan datang," katanya.

Program TKHM Bersama Affin Islamic ini turut mendapat sokongan dan kerjasama JPN Melaka yang membantu menyenaraikan pelajar asnaf yang layak menerima sumbangan.

Sementara itu, Nazri berkata, pihaknya sentiasa mencari peluang menyalurkan sumbangan kepada golongan pelajar terutama dari keluarga yang berpendapatan rendah.

"Kami memperuntukkan RM125,000 peruntukan zakat bagi menjayakan program ini. Selain komputer riba dan pakej Internet percuma, kita juga memberikan wang tunai RM100 kepada 25 pelajar ini.

"Sumbangan komputer riba ini dilihat dapat membantu pelajar untuk memajukan diri dan keluarga mereka menerusi pelajaran, dan keluar dari masalah kemiskinan," katanya.

NAZRI ditemani Husain dan Karim berbual dengan pelajar pada program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Affin Bank Sumbangan Komputer Riba Kepada Pelajar. FOTO Azrul EdhamMohd Aminuddin.
NAZRI ditemani Husain dan Karim berbual dengan pelajar pada program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Affin Bank Sumbangan Komputer Riba Kepada Pelajar. FOTO Azrul EdhamMohd Aminuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 2:24 PM