KARIM (tengah) berkatakan sesuatu kepada pelajar yang menerima komputer riba pada program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Affin Islamic Bank di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
KARIM (tengah) berkatakan sesuatu kepada pelajar yang menerima komputer riba pada program Titipan Kasih Harian Metro Bersama Affin Islamic Bank di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka. FOTO Azrul Edham Mohd Aminuddin
Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Inisiatif sumbangan komputer riba menerusi program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) Bersama Affin Islamic Bank Berhad bukti keprihatinan sektor korporat dalam membantu pelajar kurang berkemampuan.

Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka, Karim Tumin berkata, sehubungan itu pihaknya berharap program seumpamanya diteruskan pada masa depan.

"Harapan kita program tanggungjawab sosial korporat (CSR) daripada Harian Metro dan Affin Islamic Bank Berhad bukan julung kali dan terakhir, sebaliknya diadakan lagi pada masa depan.

"Saya bagi pihak JPN berterima kasih atas keprihatinan pihak korporat menyumbang komputer riba ini yang menunjukkan keprihatinan dalam merasai denyut nadi pelajar kita yang kurang berkemampuan.

"Supaya dengan adanya peranti-peranti ini nanti akan dapat digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dengan baik kerana kita terkesan dengan pandemik," katanya berucap ketika majlis sumbangan di Dewan Bestari, JPN Melaka, di sini, semalam.

Terdahulu, beliau bersama Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit dan Pengarah Perbankan Komuniti Affin Islamic Bank Berhad, Nazri Othman menyampaikan komputer riba kepada 25 pelajar terpilih daripada golongan asnaf.

Sementara itu, Karim turut mengingatkan pelajar terbabit supaya menjaga dan memanfaatkan sebaiknya komputer riba itu.

"Jika komputer riba ini diguna dengan betul akan beri manfaat kepada kita dan sebaliknya jika diguna untuk perkara tidak berfaedah tidak memberi apa-apa makna.

"Anda sangat beruntung berbanding orang lain, maka guna sumbangan ini sebaik mungkin di sekolah atau di rumah untuk belajar," katanya lagi.

Beliau juga berharap ibu bapa turut memantau proses pembelajaran anak masing-masing.

Sementara itu, Husain berkata, menghampiri usia 31 tahun pada 25 Mac ini, Harian Metro bukan sahaja berperanan melaporkan berita semasa dan maklumat, malah sentiasa peka dengan kesulitan dialami masyarakat.

Katanya, pelbagai inisiatif dilakukan untuk membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama melalui TKHM sejak 2007.

"Objektif kami untuk meringankan beban golongan sasaran seperti anak-anak yatim, ibu tunggal miskin, keluarga miskin, golongan asnaf serta rumah kebajikan.

"Pelbagai bantuan kami agihkan termasuklah makanan, barangan keperluan dapur dan kegunaan harian, pakaian seperti baju sekolah dan baju raya, kelengkapan tempat tinggal atau asrama serta kemudahan tempat beribadat seperti surau dan masjid.

"Secara tidak langsung, saya melihat program ini dapat mengeratkan hubungan warga kerja Harian Metro dengan masyarakat setempat, khususnya pembaca setia Harian Metro yang kini mencecah lebih 2.8 juta orang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 9:24 AM