Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan teman wanitanya di dua lokasi di Jelawat, Bachok pada Mei lalu.

Tertuduh, Abdul Aziz Mohamed, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 15 tahun 10 bulan di kawasan semak dan sebuah rumah di Jelawat, Bachok dari 2 Mei sehingga minggu keempat Mei lalu antara 12 tengah hari dan 2 pagi.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fariz Abdul Hamid dan tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Ahmad Fariz memohon tiada jaminan ditawarkan kerana perbuatan yang dilakukan lelaki itu adalah keji selain tertuduh mengenali mangsa.

Mahkamah kemudian tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 7 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 3:32 PM
Abdul Aziz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan teman wanitanya berusia 15 tahun. Foto Nik Abdullah Nik Omar
Abdul Aziz didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan teman wanitanya berusia 15 tahun. Foto Nik Abdullah Nik Omar