Meor Riduwan Meor Ahmad

Melaka: Jurulatih Muay Thai mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja, kononnya bagi mengubati sihir sejak September lalu.

Zemi Rahim, 50, membuat pengakuan itu sejurus dibacakan pertuduhan itu oleh jurubahasa di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Mengikut empat pertuduhan, tertuduh didapati melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 16 tahun.

Perbuatan itu dilakukan di kawasan semak di Jalan Taman Malim Jaya dan perindustrian berdekatan sebuah pasar raya di Cheng, masing-masing pada awal, pertengahan dan akhir September serta pada 9 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mahkamah bagaimanapun menangguhkan prosiding fakta dan hukuman pada 3 November depan selepas dipohon Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim bagi menyediakan fakta kes.

Pendakwaan juga tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh yang tidak diwakili peguam bela.

ZEMI mengaku lakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.
ZEMI mengaku lakukan amang seksual fizikal terhadap remaja perempuan. FOTO Meor Riduwan Meor Ahmad.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2023 @ 12:47 PM