SEBAHAGIAN beg yang mengandungi  daun ketum yang ditemui dalam bas persiaran yang ditahan polis. FOTO Zuliaty Zulkifli.
SEBAHAGIAN beg yang mengandungi daun ketum yang ditemui dalam bas persiaran yang ditahan polis. FOTO Zuliaty Zulkifli.
Zuliaty Zulkiffli


Sungai Petani: Cubaan membawa daun ketum ke Pahang menggunakan bas persiaran gagal apabila polis merampas lapan beg mengandungi 150 kilogram (kg) daun ketum malam tadi.

Difahamkan, bas persiaran terbabit bergerak dari Terminal Bas Shahab Perdana, Alor Setar pada jam 10 malam, dan dalam perjalanan menuju ke Kuantan, Pahang.

Bagaimanapun, polis berjaya mengesan bas berkenaan sebelum ditahan di Jalan Badlishah, Village Mall, di sini, pada 11.30 malam .

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman@Abdul Rahim berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bersama anggota Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Kuala Kedah.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam ruang simpanan barang di bawah bas menemui lapan beg baju yang di dalamnya mengandungi daun ketum.

"Kesemua lapan beg itu mengandungi 626 plastik berisi 150 kg daun ketum.

"Turut dirampas dua paket plastik lutsinar berisi dadah jenis syabu seberat 1.6 gram dan satu paket dadah jenis heroin seberat 14 gram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Anuar berkata, polis turut menahan pemandu bas lelaki berusia 46 tahun dan wanita berusia 37 tahun untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing mendapati mereka bebas pengaruh dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 39A (2) Akta Racun 1952 serta Seksyen 12(2) ADB 1952.

"Kedua-dua mereka tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan ditahan untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 September 2021 @ 10:26 AM