KEADAAN tapir yang cedera akibat terjatuh ke dalam lubang di Ulu Bendul. FOTO Amran Yahya
KEADAAN tapir yang cedera akibat terjatuh ke dalam lubang di Ulu Bendul. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kuala Pilah menyelamatkan tapir betina yang cedera akibat terjatuh ke dalam longkang berdekatan rumah penduduk Kampung Ulu Bendul, Kuala Pilah, hari ini.

Pegawai APM Daerah Kuala Pilah, Muhamad Aminuddin Suhaimi berkata, pihaknya menerima panggilan telefon daripada penduduk pada 7.07 pagi dan menghantar empat anggota ke lokasi di Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Taman Ulu Bendul.

Katanya, sebaik tiba, anggota terbabit mendapati seekor tapir terperangkap di dalam longkang dan mengalami kecederaan.

"Kami terpaksa menghubungi Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Seremban untuk membantu operasi menyelamatkan haiwan itu.

“Kami mengambil masa kira-kira empat jam dengan menggunakan jengkaut untuk mengeluarkan tapir berkenaan yang cedera di kepala dan kaki,” katanya.

Sementara itu, Pengarah PERHILITAN negeri, Wan Mat Wan Harun ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, tapir betina dewasa itu kini ditempatkan di pejabat PERHILITAN Seremban untuk pemantauan.

Katanya, spesis terancam yang dilindungi undang-undang itu akan dirawat sebelum dilepaskan ke habitat asal.

Dalam pada itu, seorang penduduk kampung, Noriah Abd Rashid, 72, berkata, dia mendapati haiwan itu sering muncul di luar pagar rumahnya sejak dua bulan lalu pada waktu pagi dan petang.

Katanya, hampir setiap hari haiwan itu muncul untuk mencari makanan, justeru Noriah serta cucu sering memberikannya makanan.

"Tetapi kira-kira 6.30 pagi ini ketika menghantar cucu menunggu bas sekolah di tepi jalan, saya dapati tapir berkenaan terjatuh di dalam longkang di tepi rumah.

"Saya lihat ada kesan cedera di mulut dan hidung mungkin akibat terjatuh ke dalam longkang itu dan segera menghubungi APM untuk bantuan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Jun 2018 @ 6:39 PM