FOTO hiasan
FOTO hiasan
Nur Izzati Mohamad


Bukit Mertajam: Seorang pelajar Tingkatan Lima yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara enam ditahan polis semalam selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan mengedar dadah sekitar Pulau Pinang.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, insiden itu terbongkar apabila pihaknya menahan dua lelaki berusia 17 dan 26 tahun yang sedang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan di Kampung Permatang Batu, di sini, 6.05 petang semalam.

"Hasil pemeriksaan terhadap atas pelajar sekolah itu tidak menemui barang salah pada anggota badannya, namun polis menemuikan satu paket plastik dadah jenis Methamphetamine seberat 76 gram (g) bernilai RM7,600 dalam poket kanan seluar rakannya yang juga seorang pekerja kilang.

"Pemeriksaan lanjut menemukan satu beg plastik hitam mengandungi dadah jenis Methamphetamine seberat 830g bernilai RM29,000 dalam raga motosikal yang digunakan kedua-dua mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau kemudian ditahan untuk tindakan selanjutnya.

"Soal siasat dijalankan membawa kepada serbuan kedua di rumah kongsi dalam kawasan tapak pembinaan di Taman Irama, Butterworth jam 8 malam tadi yang mana lokasi berkenaan dipercayai menjadi tempat mereka menyimpan bekalan dadah.

"Hasil serbuan menemui lebih 2.1 kilogram (kg) methamphetamine dianggarkan bernilai RM72,000 serta satu paket plastik dadah jenis heroin seberat 112g bernilai RM5,165," katanya.

Shafee berkata, siasatan seterusnya mendedahkan pembabitan beberapa lagi suspek lain yang terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah itu.

"Berikutan itu, serbuan seterusnya dilakukan di Flat Desa Wawasan dekat sini jam 9 malam dan menahan seorang pekerja kontrak lelaki berusia 31 tahun.

"Polis kemudian ke sebuah bengkel terletak di Sungai Bakap, Nibong Tebal pada 12.30 tengah malam dan menahan tiga lagi lelaki terdiri daripada mekanik, kelindan lori serta penganggur berusia 20 hingga 23 tahun yang mana dalam serbuan terakhir ini, polis menemukan 40 paket plastik lutsinar mengandungi heroin seberat 31.42g dan satu paket methamphetamine seberat 0.81 g yang kedua-dua dadah ini bernilai RM1,100," katanya.

Shafee berkata, keseluruhannya polis merampas dadah lebih 3.2 kg yang dianggarkan bernilai RM114,865 termasuk menyita kereta dan tiga motosikal dalam keempat-empat serbuan itu.

Tambahnya, semua suspek kini ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mac 2021 @ 2:41 PM