WONG (berbaju putih, tengah) meninjau kemajuan projek pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas yang akan menempatkan 42 rangka manusia termasuk ‘Penang Women’. FOTO Nur Izzati Mohamad
WONG (berbaju putih, tengah) meninjau kemajuan projek pembinaan Pusat Arkeologi Guar Kepah, Kepala Batas yang akan menempatkan 42 rangka manusia termasuk ‘Penang Women’. FOTO Nur Izzati Mohamad
Nur Izzati Mohamad


Kepala Batas: Penduduk Pulau Pinang termasuk pencinta sejarah di seluruh negara dijangka dapat melihat 42 rangka manusia termasuk 'Penang Women' berusia lebih 5,000 tahun yang akan dipamerkan di Pusat Arkeologi Guar Kepah, di sini, dalam tempoh masa terdekat.

Ini selepas bangunan dua tingkat di tapak arkeologi seluas 0.97 hektar itu kini dalam fasa akhir untuk disiapkan melalui Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA).

Exco Pelancongan dan Ekonomi negeri, Wong Hong Wai, berkata kerja fizikal pembinaan pusat arkeologi terbabit sudah dimulakan pada 14 November 2022 dan kini siap 98 peratus.

"Berdasarkan tinjauan tinggal sedikit sahaja lagi kerja yang perlu disiapkan termasuk kerja dalaman serta luaran dan ruang pameran untuk menempatkan kesemua rangka manusia berkenaan.

"Melihat kepada kemajuan projek ini, kita yakin semuanya mampu disiapkan akhir suku kedua tahun ini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan bagi meninjau kemajuan projek terbabit, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif NCIA Mohamad Haris Kader Sultan serta Ketua Arkeologi negeri Professor Datuk Mokhtar Saidin dan Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Professor Dr Stephen Chia.

Wong berkata, ketika ini kedutaan Belanda di Kuala Lumpur sudah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Warisan untuk memindahkan kesemua 41 rangka manusia yang berada di sana ke Malaysia.

"Ia selepas Kerajaan Belanda bersetuju memulangkan rangka terbabit kepada Kerajaan Malaysia untuk diletakkan di Pulau Pinang (tapak arkeologi yang menjumpai semua khazanah terbabit).

"Namun, didapati kita masih perlu melalui beberapa terma dan syarat antaranya memastikan ruang penyimpanan kesemua rangka itu mematuhi suhu yang ditetapkan.

"Kita sedang berusaha memastikan suhu di ruang pameran ini bersesuaian dengan mendapat kepakaran dari ahli arkeologi, sekali gus membolehkan semua 42 rangka manusia yang ditemui di tapak ini dapat dipamerkan kepada orang awam tidak lama lagi," katanya.

Katanya, bayaran masuk dan operasi pusat arkeologi itu ia akan diumumkan apabila ia dibuka secara rasmi kelak.

Untuk rekod, Guar Kepah di Kepala Batas adalah tapak prasejarah pertama di Semenanjung yang digali untuk dikaji sejak 1863.

Kajian terkini dilaksanakan oleh pengkaji USM pada 19 April 2017 yang menemui rangka manusia ke-42 iaitu seorang wanita berusia lebih 5,000 tahun.

Selain itu, sebanyak 41 rangka manusia sebelum itu dijumpai ketika ekskavasi oleh P V Van Stein Callenfels pada 1936 yang mana kesemua khazanah berkenaan kemudian disimpan di Leiden, Belanda susulan tiada galeri penyimpanan yang lebih teratur pada ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mei 2024 @ 5:50 PM