ANWAR (tengah) menunjukkan buku Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028. Turut kelihatan Ahmad Zahid (dua, kiri) dan Fadillah (dua, kanan) serta Mohd Zuki (kiri) dan Azam (kanan). FOTO Bernama.
ANWAR (tengah) menunjukkan buku Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028. Turut kelihatan Ahmad Zahid (dua, kiri) dan Fadillah (dua, kanan) serta Mohd Zuki (kiri) dan Azam (kanan). FOTO Bernama.
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Negara kehilangan RM277 bilion akibat jenayah rasuah berdasarkan anggaran kumulatif Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tempoh lima tahun sejak 2018.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, ketirisan amat besar itu sewajarnya boleh dimanfaatkan untuk membantu rakyat terutama pelaksanaan projek sosial seperti baik pulih hospital dan sekolah.

Bagaimanapun, katanya, nilai berkenaan mengalami ketirisan akibat jenayah rasuah.

Menurutnya, justeru, bagi memastikan strategi pembanterasan rasuah memberi impak maka penggubalan Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028 dilaksanakan dengan menggunakan pelbagai pendekatan dan metodologi bagi mengenal pasti bidang yang terdedah kepada risiko terkini rasuah dalam negara.

"Antaranya adalah melalui dapatan penyelidikan sektor-sektor yang cenderung kepada rasuah, salah guna kuasa, ketirisan, penyelewengan dan kelemahan pentadbiran serta tatakelola yang dibentangkan dalam Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti danAntirasuah pada 6 hingga 7 September 2023 lalu.

"Selain itu, kajian penanda aras (benchmarking) ke negara-negara maju seperti United Kingdom (UK) dibuat bagi mendapatkan input strategik berhubung pembangunan dan mekanisme pelaksanaan UK Anti-Corruption Strategy 2017-2022 sebagai input pembangunan NACS," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran NACS 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Majlis itu disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan turut dihadiri dua timbalan perdana menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Azam berkata, input-input strategik seumpama ini menjadi antara rujukan penting yang membantu dalam pembangunan NACS 2024-2028 seiring dengan dasar kerajaan semasa.

"NACS 2024-2028 yang dihasilkan ini menggariskan strategi penting yang tertumpu pada peningkatan integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban merentasi pelbagai sektor di Malaysia termasuk politik, pentadbiran awam, perolehan kerajaan, penguatkuasaan undang-undang, institusi perundangan dan kehakiman, sektor swast, serta orang ramai.

"Ia menggabungkan lima strategi dan 60 sub strategi untuk dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula dari 2024 sehingga 2028," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 4:27 PM