SPRM
SPRM
Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya terus berani dan tidak 'terpukau' ketika menjalankan siasatan terhadap golongan atasan, berpengaruh dan berdarjat demi menyelamatkan negara.

Menurutnya, dalam usaha memerangi gejala rasuah, golongan berkenaan akan terus menekan agensi penguatkuasaan itu untuk terlepas daripada tindakan undang-undang.

"Saya mempunyai keyakinan kepada 'keluarga' SPRM, yang diberikan mandat (menyiasat) tidak mengenal darjat dan keturunan. Rakyat perlu tahu, apa sahaja sanggahan dan lontaran kepada kita, tujuannya adalah untuk menyelamatkan nasib mereka.

"Ia tidak boleh dilakukan sekiranya ada penjawat awam atau penguat kuasa merasakan hak mereka untuk memunggah hasil kerajaan dan menjalankan pentadbiran mengikut hukum rimba.

"Segelintir penguat kuasa mungkin akan terpukau khususnya membabitkan perasuah berpengaruh, berdarjat dan kumpulan atasan, yang akan menggunakan apa sahaja usaha termasuk media, media sosial, jentera kerajaan untuk menyerang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Strategi Pembanterasan Rasuah (NACS) 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, hari ini.

Anwar berkata, isu rasuah tidak boleh dipandang ringan dan semua pihak termasuk masyarakat perlu memainkan peranan membanteras permasalahan itu.

"Apabila kita luncurkan agenda ini (NACS), ya tentu tonggaknya masih SPRM, tetapi ia juga melibatkan (pelbagai agensi penguatkuaaan), yang harus memastikan negara beranjak daripada ketelanjuran lalu dan lebih bertekad untuk membanteras (rasuah).

"Saya punya keyakinan kepada (Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri) Azam (Baki) dan keluarga SPRM yang diberi amanah, kepercayaan dan dukungan… tidak kenal darjat dan kedudukan (membanteras rasuah) supaya rakyat dapat mesej yang jelas," katanya.

Beliau berkata, SPRM diberi amanah dan kepercayaan tidak kira darjat atau kedudukan, tugas mereka adalah adalah menyelamatkan negara dan membela nasib rakyat.

"Nasib rakyat tidak akan terbela jika kita biarkan (rasuah) dan menjalankan pentadbiran mengikut hukum rimba.

"Majoriti rakyat sudah resah dan benci, sebaliknya hanya segelintir tetap mempertahankan dan terpukau," katanya.

Pelancaran NACS 2024-2028 memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, selain meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan.

NACS 2024-2028 menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 iaitu komponen penting agenda reformasi Malaysia yang menggariskan strategi-strategi teras secara menyeluruh dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 2:10 PM