FAHMI (kiri) pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024. FOTO BERNAMA
FAHMI (kiri) pada Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama 2024. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Petaling Jaya: Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama yang berlangsung hari ini sebagai satu acara terbaik dalam menekankan tanggungjawab dan peranan ketua agama terhadap masyarakat.

Fahmi berkata, perkara itu adalah mesej utama yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa berucap merasmikan persidangan yang menghimpunkan tokoh agama dan intelektual dari seluruh dunia itu.

"Mesej utama Perdana Menteri dalam ucapan perasmian berkait keperluan ketua-ketua agama tampil dan membantu untuk meredakan keadaan bila masa, kalau di sesetengah negara kelihatan seperti faham ekstremisme keterlaluan dan sehingga timbul ketegangan atau kerosakan dalam masyarakat di negara terbabit.

"Perdana Menteri tak merujuk mana-mana negara secara khusus tetapi secara umum dan harapannya perbincangan yang dijana akan dapat menghasilkan resolusi Kuala Lumpur yang akan diumum pada penghujung persidangan ini," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan itu, di sini.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, Persidangan Antarabangsa Ketua-Ketua Agama akan menjadi acara tetap di Malaysia.

Persidangan sehari berkenaan akan disusuli dengan Persidangan Majlis Ulama Asia di Hotel Mandarin Oriental, di sini, pada Rabu.

Kedua-dua persidangan itu dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Liga Dunia Muslim (MWL).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 4:08 PM