IDRIS (kiri) dan Sheikh Mohammad mengadakan pertemuan di Makkah. FOTO Facebook Idris Ahmad
IDRIS (kiri) dan Sheikh Mohammad mengadakan pertemuan di Makkah. FOTO Facebook Idris Ahmad
Samadi Ahmad

Putrajaya: Malaysia mencadangkan kepada Liga Muslim Sedunia (MWL) supaya terus berperanan memberikan penerangan berkaitan keindahan ajaran Islam sebenar kepada negara-negara barat bagi memperbetulkan salah faham dan Islamophobia dalam kalangan masyarakat global.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad berkata, cadangan itu disuarakan kepada Setiausaha Agung MWL, Sheikh Dr Mohammad Abdul Karim Al-Issa ketika bertemu di Makkah semalam.

Idris turut memberikan pandangan kepada MWL agar terus memainkan peranan dalam mengukuhkan kefahaman Islam bagi mendepani ancaman pemikiran liberal, ajaran sesat dan lain-lain.

Menurutnya, kali terakhir mereka bertemu ketika menghadiri Persidangan Ulama Asia Tenggara di Kuala Lumpur pada 30 Jun lalu.

Katanya, Sheikh Mohammad turut merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas penganjuran persidangan itu.

"Ia menjadi sejarah dan penerusan usaha-usaha penyatuan umat Islam dan beliau turut memuji cara Malaysia mengendalikan jemaah Haji tahun ini," kata Idris dalam Facebooknya.

Persidangan Ulama Asia Tenggara yang berlangsung 30 Jun lalu itu menghimpunkan wakil dari 20 negara rantau Asia dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Idris berkata, beliau turut merakamkan penghargaan khususnya kepada Kerajaan Arab Saudi dan MWL atas kerjasama erat dengan Malaysia.

"Semoga pertemuan ini dapat memberi manfaat kepada umat Islam di Malaysia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Julai 2022 @ 10:13 AM