SURAYA merasmikan Majlis Pelancaran Paddy Day dan Karnival Jom Cari Kerja dan Peluang Pengajian Dalam Bidang Kemahiran.
SURAYA merasmikan Majlis Pelancaran Paddy Day dan Karnival Jom Cari Kerja dan Peluang Pengajian Dalam Bidang Kemahiran.
SEORANG peserta berjaya menangkap itik.
SEORANG peserta berjaya menangkap itik.
PESERTA bersaing untuk menangkap ikan.
PESERTA bersaing untuk menangkap ikan.
PESERTA mencuba kaedah menanam padi secara tradisional menggunakan kuku kambing.
PESERTA mencuba kaedah menanam padi secara tradisional menggunakan kuku kambing.
SURAYA menaiki jentera menanam padi.
SURAYA menaiki jentera menanam padi.
Oleh Mohamad Hussin


Inovasi serta penggunaan teknologi dan jentera terbaru sangat diperlukan petani tempatan untuk meningkatkan hasil dan mempercepatkan proses penanaman.

Menyedari kepentingan itu, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) mengadakan Majlis Pelancaran Paddy Day dan Karnival Jom Cari Kerja serta Peluang Pengajian Dalam Bidang Kemahiran di Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Paddy Day ialah program kerjasama membabitkan MADA dengan jabatan dan agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Jabatan Pertanian (DOA) serta Padi Beras Nasional Berhad (BERNAS).

Program ini dilaksanakan bagi menonjolkan teknologi terkini dalam penanaman padi di kawasan MADA di utara tanah air.

Antara aktiviti Paddy Day ialah pertandingan mengenal makhluk perosak, demonstrasi drone untuk pemantauan tanaman padi, demonstrasi penggunaan jentanam dan traktor mini, dapur MADA cef serta demonstrasi pemprosesan produk industri asas tani.

Di samping itu, demonstrasi menanam padi menggunakan kuku kambing serta sukan bendang turut di­adakan bagi mengembalikan nostalgia penanaman padi pada zaman dahulu kepada generasi baru.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan Kedah, Datuk Suraya Yaakob berkata, semua pihak perlu sedar mengenai kepentingan teknologi dan mekanisasi dalam tanaman padi.

“MADA selaku agensi yang memainkan peranan besar dalam sektor padi negara perlu berupaya menangani persekitaran semasa yang mencabar dengan lebih kreatif.

“Pengurusan sawah sentiasa diberi suntikan baru supaya selari dengan keperluan dan sasaran hasil padi yang ditetapkan.

“Dalam hal ini, perkembangan teknologi dan mekanisasi dalam industri tanaman padi perlu diambil kira dalam usaha meningkatkan produktiviti tanaman padi,” katanya.

Suraya berkata, penggunaan mekanisasi ladang yang berkesan akan dapat membantu mengurangkan kehilangan hasil selepas tuai.

“Secara tidak langsung, pendapatan peladang akan dapat ditingkatkan. Kita perlu mencari kaedah baru dalam industri penanaman padi.

“Selain itu, kehilangan hasil selepas tuai, aplikasi teknologi tinggi melalui penggunaan input pertanian berkualiti tinggi dan amalan pakej penanaman hasil tinggi (rice check) perlu diberi perhatian.

“Amalan yang mematuhi kriteria Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP), penggunaan benih serta input pertanian berkualiti tinggi dengan kadar dan masa yang bersesuaian dapat mengurangkan kehilangan hasil selepas tuai (post harvest losses),” katanya.

Beliau berkata, program bagi mengenal pasti mesin dan teknologi yang sesuai untuk digunakan mengikut peredaran masa bagi mengurangkan kos tetapi meningkatkan kecekapan perlu diteruskan bagi menjamin kelestarian industri tanaman padi.

“Selain itu, program pembangunan kemahiran bagi melatih operator mesin mengenai kaedah pengendalian mekanisasi yang cekap dan bersesuaian perlu dilaksanakan.

“Penganjuran Program Paddy Day adalah platform terbaik bagi pemain industri tanaman padi untuk dipertemukan dengan teknologi dan mekanisasi terkini yang diguna pakai dalam tanaman padi,” katanya.

Sementara itu, Suraya berkata, Karnival Jom Cari Kerja dan Peluang Pengajian Dalam Bidang Kemahiran adalah program julung kali dianjurkan MADA dengan kerjasama Yayasan Pelajaran Pertubuhan Peladang MADA (YPPPM) dan JobsMalaysia Kedah.

“Karnival ini bertujuan menyediakan platform kepada golongan belia di kawasan MADA khususnya pencari kerja untuk bertemu secara langsung dengan syarikat yang menawarkan pekerjaan.

“Karnival ini membabitkan belia dan pencari kerja dari kawasan MADA di Kedah/Perlis dan sekitarnya.

“Program ini mendapat sokongan padu daripada pelbagai pihak terutama JobsMalaysia, majikan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat latihan kemahiran.

“Program ini menghimpunkan 30 majikan yang terdiri daripada pelbagai sektor kerjaya seperti pertanian, perkilangan, industri makanan, automotif dan pemasaran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 September 2015 @ 8:41 AM