BAYARAN sewa yang konsisten akan membolehkan kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan PPR dan PA dapat dilaksanakan dengan lancar.
BAYARAN sewa yang konsisten akan membolehkan kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan PPR dan PA dapat dilaksanakan dengan lancar.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Penyewa culas membayar sewa bulanan rumah projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) yang didiami menyebabkan berlaku tunggakan terkumpul kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ketika ini mencecah RM29.8 juta.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL Ismadi Sakirin berkata, tunggakan itu membabitkan 21,000 penyewa daripada jumlah keseluruhan 40,000 penyewa yang masih mendiami PPR dan PA.

"Ada penyewa yang berkemampuan tetapi dengan sengaja culas untuk membayar sewa.

"Sikap mereka yang suka menangguh bayaran sewa bulanan turut menyebabkan tunggakan sewa semakin meningkat walaupun pelbagai saluran bayaran sudah disediakan," katanya kepada Harian Metro.

Ismadi berkata, terdapat dalam kalangan penyewa yang mempunyai tunggakan sehingga mencecah RM23,808 dengan tempoh tunggakan selama 16 tahun.

Menurutnya, DBKL sentiasa berusaha memburu penyewa yang mempunyai tunggakan tinggi ini agar mereka dapat menjelaskan bayaran.

"Bagaimanapun, semakan mendapati tidak wujud kes penyewa PPR dan PA yang sejak memperolehi rumah DBKL tidak membayar bayaran sewa sehingga kini," katanya.

Ismadi berkata, bagi menangani permasalahan ini, DBKL mewujudkan Pelan Tindakan Pemulihan Hasil yang mengandungi pelbagai inisiatif dan usaha bagi memastikan tunggakan sewa dapat diurus dengan cekap dan berkesan terhadap penyewa yang bermasalah.

Katanya, melalui pelan itu, DBKL memberi peluang kepada penyewa untuk membayar sewa dan menjelaskan tunggakan mereka.

Beliau berkata, terdapat lapan inisiatif dan usaha yang dilaksanakan meliputi pengeluaran Notis Tunggakan secara berkala, pemakluman dan peringatan tanggungawab membayar sewa melalui media sosial seperti aplikasi WhatsApp, mengadakan sesi bersemuka dan lawatan bersama pengarah ke unit-unit mempunyai tunggakan.

"Mengadakan Kempen Bayar Sewa dengan pemberian baucar tunai, membuka kaunter-kaunter bergerak di kawasan PPR dan PA yang tiada kaunter statik terutama di kawasan yang ramai penyewa warga emas dan menubuhkan pasukan task force dianggotai oleh persatuan penduduk bagi mengutip tunggakan sewa.

"Selain itu, melaksanakan Operasi Tindakan Memotong Bekalan Air terhadap unit-unit penyewa yang mempunyai tunggakan tinggi dan tindakan undang-undang," katanya.

Menurutnya, DBKL turut menyediakan pelbagai medium bayaran selain di kaunter bagi memudahkan urusan penyewa membuat bayaran.

"Penyewa boleh membuat bayaran secara dalam talian pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja tanpa perlu hadir ke kaunter bayaran. Kaedah dalam talian ini adalah lebih pantas, mudah dan selamat," katanya.

Dalam pada itu katanya, di samping sikap penyewa, faktor masalah kewangan juga menyebabkan penyewa tidak berkemampuan untuk membayar sewa bulanan walaupun kadar yang dikenakan sangat rendah.

Beliau berkata, masalah kewangan ini adalah membabitkan golongan yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Namun begitu, bagi golongan penyewa yang tidak berkemampuan ini, DBKL menyediakan kemudahan kaedah bayaran ansuran sewa secara berjadual bagi membantu meringankan kekangan kewangan mereka.

"DBKL melalui sesi lawatan ke unit-unit bertunggakan turut mengedarkan borang bantuan Baitulmal, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada ketua-ketua penyewa," katanya.

Sementara itu, Ismadi berkata, inisiatif dan usaha DBKL dalam menangani isu tunggakan sewa tidak akan berkesan sekiranya tidak mendapat kerjasama yang baik daripada penyewa.

Beliau turut menasihatkan penyewa agar mempunyai sikap bertanggungjawab dalam membuat bayaran sewa bulanan secara konsisten.

"(Ia) bagi mengelakkan bayaran sewa tertunggak yang akhirnya akan membebankan mereka dan berisiko dikenakan tindakan penguatkuasaan, malah akan kehilangan unit sewa yang diduduki," katanya.

Sehubungan itu katanya, penyewa perlu menghargai peluang diberikan oleh DBKL dengan membayar sewa bulanan dan menjelaskan tunggakan bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang bakal dihadapi.

"Kadar sewa yang dikenakan oleh DBKL adalah sangat rendah. DBKL ingin mengingatkan

Kadar sewa yang dikenakan oleh DBKL adalah sangat rendah. DBKL ingin mengingatkan bahawa pembayaran sewa yang konsisten akan membolehkan kerja-kerja pengurusan dan penyelenggaraan PPR dan PA dapat dilaksanakan dengan lancar, seterusnya penghuni dapat hidup dalam keadaan selesa, selamat dan sejahtera," katanya.


'Kutip pun salah, tak kutip pun salah'

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) disifatkan mempunyai dilema bagi mengutip setiap tunggakan sewa rumah projek perumahan rakyat (PPR) dan perumahan awam (PA) di ibu kota.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Kampung Baru Air Panas Mohamad Faidzal Ibrahim berkata, iai disebabkan bayaran sewa kira-kira RM124 sebulan itu tidak dibayar oleh sebilangan PPR dan PA menyebabkan ia tertunggak sehingga mencecah jutaan ringgit.

"Saya pergi mesyuarat pada tahun lalu bersama DBKL memang tinggi (tunggakan sewa rumah PPR dan PA).

"Ada yang cecah RM3 juta, ada yang RM2 juta dan macam PPR Kampung Baru Air Panas sendiri (tunggakan sewa rumah) lebih RM1 juta," katanya ketika ditemui Harian Metro.

Menurutnya, DBKL menghadapi dilema disebabkan sebelum ini ada dalam kalangan penduduk PPR tinggal di kawasan setinggan dan tidak membayar sewa bulanan tetapi apabila berpindah, mereka dikehendaki membayarnya.

"(Sebelum ini) dia tinggal di kawasan setinggan tidak pernah bayar (sewa bulanan). Jadi bila dia pindah ke PPR, dia kena bayar. (Tapi tetap dia) tak bayar dan tunggakan itu semakin lama semakin banyak," katanya.

Beliau berkata, antara sebab lain mereka tidak membayar sewa rumah adalah rata-rata yang sudah berusia dan tidak mempunyai pekerjaan serta sekiranya tindakan penguatkuasaan diambil, mereka tidak mempunyai tempat tinggal selepas itu.

"Kita nampak penduduk kebanyakannya warga emas tiada pendapatan dan ada yang duduk berdua sahaja, anak tidak membantu.

"Bila kita turun padang, memang pihak DBKL maklum, mereka ini ada tunggakan yang agak tinggi. Tapi kalau penguatkuasaan dilakukan, ke mana mereka nak pergi?

"Saya pernah pergi di Blok D (PPR Kampung Baru Air Panas), ada penyewa tertunggak RM11,000," katanya.

Menurutnya, penyewa yang sudah berusia itu tinggal berdua bersama isterinya, manakala anaknya tidak membantu sebagai contoh membayar sewa bulanan rumah.

"Ia antara satu masalah dalam institusi keluarga kita. Kita boleh nampak di mana institusi kekeluargaan itu renggang. Anak keluar dari rumah tak tolong ibu bapa.

"Sepatutnya anak yang sudah meningkat dewasa dan mulakan kerja, dia bantu ibu bapanya seperti menolong membayar sewa rumah. (Ini) ada yang datang jumpa saya kata anak tak bantu..itu keadaannya," katanya.

Mohamad Faidzal turut mencadangkan agar DBKL membuat kajian menyeluruh kepada semua unit PPR dan PA tertunggak yang ada di Kuala Lumpur.

"Kalau ikutkan apabila perkara seperti ini berlanjutan bertahun-tahun, adalah satu kerugian kepada DBKL dan kerajaan disebabkan kena tanggung dari segi penyelenggaraan seperti pembersihan dan sekiranya lif rosak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2023 @ 12:00 PM