FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Tiada kompromi buat penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didapati menyewa kepada warga asing.

Malah, tindakan pengusiran juga akan dibuat jika 'tembelang' mereka mengaut keuntungan dihidu DBKL.

Menurut jurucakap DBKL, pihak berkuasa tempatan itu begitu teliti untuk memastikan mereka yang layak sahaja dibenarkan menyewa.

Katanya, kadar sewa dikenakan DBKL hanya serendah RM124 hingga RM240 sebulan menjadikan PPR dan PA menjadi rebutan warga kota.

"Jika babitkan warga asing, memang DBKL tidak akan berkompromi dan tindakan usir akan dikenakan kepada penyewa.

"Ini seperti merampas hak rakyat tempatan yang layak untuk mendapat kediaman dan menetap dengan kadar sewa sedemikian," katanya ketika dihubungi, semalam.

Dalam pada itu, katanya, isu 'pewarisan' PPR dan PA sememangnya berlaku namun pelbagai faktor perlu diambil kira sebelum keputusan pengusiran dibuat.

Menurutnya, ada di antara generasi kedua yang terus menetap selepas kematian ketua penyewa iaitu bapa atau ibu mereka dan menghadapi masalah kewangan.

"DBKL perlu menilai pelbagai aspek kerana ada generasi kedua yang tidak mempunyai pendapatan tetap untuk mereka tinggal di tempat lain jika diminta mengosongkan kediaman.

"Namun, DBKL berharap tiada pihak yang mengambil kesempatan menikmati sewa rendah walaupun mereka berkemampuan menyewa di tempat lain," katanya.

Muka depan Harian Metro sebelum ini melaporkan ada penyewa yang disifatkan golongan 'liat' dan sengaja culas membayar sewa bulanan rumah didiami bersama keluarga hingga jumlah keseluruhannya mencecah RM50 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2022 @ 1:03 PM