Mohammad Asyraf Khalib

Kuala Lumpur: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) memperkenalkan semula Program Saringan Kesihatan Perkeso 3.0 (HSP 3.0) yang menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pencarum.

Program yang diperkenalkan sejak 2013 itu dilaksanakan bagi membantu pekerja membuat pengesanan awal Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) seperti diabetes, darah tinggi, kanser dan risiko penyakit jantung.

Menerusi HSP 3.0, Perkeso menambah baik program dengan meningkatkan parameter saringan kesihatan menerusi tawaran ujian pemeriksaan lebih menyeluruh bagi mengesan lebih banyak faktor risiko NCD.

Menurut Perkeso, Program HSP 3.0 adalah satu daripada inisiatif perlindungan keselamatan sosial yang diamanahkan kerajaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) di bawah Belanjawan 2023.

Katanya, kerajaan memperuntukkan geran padanan berjumlah sehingga RM70 juta di bawah Belanjawan 2023 untuk pelaksanaan saringan kesihatan ini.

Pencarum yang layak

HSP 3.0 ditawarkan sejak 16 Mei lalu sehingga 31 Disember ini dengan menyasarkan lebih 2.2 juta pekerja berinsurans Perkeso termasuk mereka yang pernah menjalani HSP sebelum ini. Untuk menikmati manfaat HSP 3.0, pekerja perlu memenuhi beberapa syarat utama iaitu:

  • Warganegara Malaysia
  • Berumur antara 40 hingga 59 tahun
  • Pencarum aktif Perkeso di bawah Skim Keilatan
  • Mempunyai sekurang-kurangnya satu caruman terkini dalam tahun semasa
  • Mencarum sekurang-kurangnya 12 bulan di bawah Skim Keilatan

Semakan kelayakan bagi HSP 3.0 boleh dibuat menerusi laman sesawang SEHATi (sehati.perkeso.gov.my) melalui menu My HSP Status. 

Selain itu, pencarum juga boleh menyemak kelayakan melalui aplikasi SEHATi yang boleh dimuat turun secara percuma melalui Google Playstore atau Apple Appstore.

Selepas selesai, pengguna hendaklah mendaftar di aplikasi SEHATi dan melengkapkan soalan pra-penilaian serta DASS-21 untuk semakan kelayakan HSP.

Bagi mereka yang layak, anda boleh meneruskan proses untuk membuat janji temu dengan memilih pakej bagi saringan kesihatan standard bersama Klinik Panel HSP melalui aplikasi SEHATi dan hadir ke klinik mengikut tarikh dan masa yang ditetapkan.

Selepas selesai menjalani saringan kesihatan standard, pekerja wanita yang berminat untuk menjalani pemeriksaan mamogram pula perlu membuat janji temu bersama Pusat Mamogram Panel HSP melalui aplikasi SEHATi.

Panduan pengguna bagi penggunaan aplikasi SEHATi boleh didapati menerusi pautan ini.

Muat turun Aplikasi SEHATi di Apps Store atau Play Store sekarang untuk semak kelayakan anda dan dapatkan saringan kesihatan di klinik HSP.

Untuk mengetahui lebih lanjut, sila hubungi talian khidmat pelanggan PERKESO di 1-300-22-8000, emel kepada [email protected] atau layari www.sehati.perkeso.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 5:01 PM