Pendekatan ini diperkenalkan bagi membantu pelajar membuat keputusan masa depan akademik serta pengetahuan yang diperlukan dalam bidang pilihan mereka.-FOTO APU.
Pendekatan ini diperkenalkan bagi membantu pelajar membuat keputusan masa depan akademik serta pengetahuan yang diperlukan dalam bidang pilihan mereka.-FOTO APU.
Muhammad Najmir Razaman

Pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang baru saja menerima keputusan mereka pastinya berasa teruja untuk melangkah ke alam pendidikan yang lebih tinggi.

Kebanyakan daripada mereka sudah pun mempunyai perancangan rapi mengenai jurusan pengajian yang ingin diceburi kelak.

Namun begitu, ada juga yang bimbang sekiranya tersalah langkah apabila membuat pilihan dalam perjalanan akademik mereka.

Bagi membantu para pelajar membuat pilihan, Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU) memperkenalkan Program Asasi khusus bagi memenuhi pelbagai keperluan dan aspirasi pelajar untuk masa depan akademik dan profesional mereka.

Tawar pelbagai bidang

Ketua Program Asasi APU, Dr Sarvinder Kaur menekankan bahawa program asasi memainkan peranan penting dalam memudahkan pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti.

"Pelajar lepasan SPM mungkin masih kurang pasti mengenai laluan kerjaya mereka. Justeru, APU menawarkan kurikulum yang komprehensif dan fleksibel bagi memenuhi keperluan mereka yang pelbagai."

"Pelajar didedahkan dengan pelbagai bidang pelajaran asas, membolehkan mereka meneroka sekali gus memperoleh pemahaman yang lebih mendalam mengenai minat dan kebolehan mereka sebelum membuat komitmen kepada jurusan tertentu," katanya.

Katanya, pendekatan ini bakal membantu pelajar membuat keputusan hala tuju akademik serta melengkapkan mereka dengan kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan dalam bidang pilihan.

Antara Program Asasi yang ditawarkan di APU termasuklah:

Perniagaan, Kewangan dan Psikologi

Program ini ditubuhkan bagi memberikan pelajar asas yang kukuh dalam ketiga-tiga bidang ini sekali gus mempersiapkan mereka menghadapi cabaran dunia korporat, sektor kewangan dan perkhidmatan psikologi.

Pengkomputeran dan Teknologi

Menerusi program ini, asas pengaturcaraan, sistem maklumat dan inovasi digital ditekankan bagi menyediakan pengajian lanjutan berkaitan teknologi maklumat (IT), pembangunan perisian dan teknologi baharu.

Kejuruteraan 

Program ini menyediakan asas yang kukuh dalam bidang kejuruteraan, matematik dan fizik bagi mempersiapkan pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang kejuruteraan elektrik dan elektronik, mekatronik atau mekanikal.

Seni bina dan Reka bentuk

Melalui program ini, pelajar didedahkan dengan asas komunikasi visual, media digital, seni bina dan persekitaran binaan serta pemikiran kreatif bagi memudahkan mereka menyambung pengajian dalam reka bentuk grafik, multimedia dan rekaan industri.

Program Asasi di APU ditubuhkan bagi mendedahkan pelajar kepada kursus ijazah pilihan mereka seterusnya membina keyakinan melalui pendedahan awal terhadap standard akademik dan beban kerja yang dijangka.

Modul komprehensif

Program Asasi APU ditubuhkan sebagai pendedahan kepada pelajar mengenai persekitaran pembelajaran di peringkat universiti.

Ia bagi menjadikan proses peralihan dari pendidikan peringkat sekolah menengah ke peringkat universiti lebih lancar dan kurang tekanan serta membolehkan mereka menerokai pelbagai disiplin akademik sebelum memilih kursus ijazah yang ingin mereka ceburi.

Antara kursus ijazah yang ditawarkan termasuklah seni visual dan kejuruteraan, seni bina dan reka bentuk, bidang berkaitan perniagaan dan kewangan, pengajian media dan komunikasi, psikologi, hospitaliti dan pelancongan serta reka bentuk permainan dan pengkomputeran.

Bagi pelajar dengan matlamat kerjaya yang jelas, modul APU diselaraskan bagi membimbing mereka ke arah program ijazah tertentu.

Sementara itu, mereka yang masih buntu berpeluang menerokai pelbagai modul bagi membantu menentukan kebolehan berdasarkan minat mereka.

Fleksibiliti dalam penerokaan

Salah satu kekuatan utama program Asasi APU adalah fleksibilitinya yang memberi pelajar kebebasan untuk meneroka pelbagai disiplin akademik.

Dr Sarvinder menegaskan fleksibiliti yang ditawarkan ini penting kerana ia membolehkan pelajar beralih dari satu bidang ke bidang lain sekiranya mereka menemui minat atau kebolehan baharu ketika berada di tahun asasi mereka.

"Fasa penerokaan ini didorong oleh sokongan, bimbingan dan berdedikasi yang berpotensi membantu pelajar memperoleh pemahaman yang jelas tentang laluan akademik dan kerjaya mereka," jelasnya.

Pengkomputeran masa hadapan

Selain itu, APU turut menawarkan program Asas dalam Pengkomputeran yang dikendalikan melalui pembelajaran jarak jauh (ODL).

Program ini dijalankan 100 peratus dalam talian yang menekankan fleksibiliti dan kebolehcapaian.

Ia menyepadukan modul berasaskan kemahiran penting termasuk penguasaan Bahasa Inggeris, peningkatan kemahiran peribadi serta pembangunan kemahiran penyelidikan.

Program ini dijalankan melalui sesi pembelajaran mingguan dinamik secara maya bersama pensyarah berpengalaman bagi membentuk persekitaran pembelajaran yang efektif.

Dengan memanfaatkan kandungan perpustakaan digital APU yang luas, pelajar juga memiliki akses kepada pelbagai sumber maklumat di hujung jari mereka.

Selain itu, campur tangan ketua program yang berdedikasi dalam menyediakan bimbingan dan bantuan turut menjadikan pembelajaran secara ODL lebih lancar dan menyeronokkan.

Bukan itu saja, program ini turut mengaplikasikan kaedah pembelajaran segerak (Synchronous) dan tidak segerak (Asynchronous).

Ia bagi memastikan pelajar terbabit secara aktif dalam interaksi bersemuka dengan rakan sebaya dan pensyarah sambil memberikan kebebasan merancang aktiviti pembelajaran mereka sendiri tanpa mengira lokasi atau kekangan masa.

Kaedah ini disokong oleh teknologi canggih dan platform yang stabil, memberikan pengalaman pembelajaran yang menarik dan dinamik seolah-olah berada di dalam dewan kuliah.

Memperkasa kecemerlangan

Tambah Dr Sarvinder, Program Asasi APU juga bertujuan membantu pelajar lepasan SPM memilih jurusan akademik profesional yang selari dengan kurikulum dan dalam masa sama menepati minat serta gaya pembelajaran mereka.

"Dengan pasukan pendidik yang berpengalaman, berdedikasi dan sistem sokongan yang mantap, APU mewujudkan persekitaran yang membolehkan pelajar meneroka minat sedia ada, menemui minat baharu dan merealisasikan potensi penuh mereka."

"Sama ada belajar di kampus seperti biasa atau melalui kaedah ODL yang fleksibel, pelajar APU diberi pilihan menetapkan haluan akademik dan kerjaya masa hadapan mereka," tegasnya.

Bagi anda yang berminat mengikuti pengajian di APU, layari laman sesawang Asia Pacific University of Technology & Innovation sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Jun 2024 @ 9:53 AM