PADDY pada sidang media di Seremban, hari ini. FOTO Adzlan Sidek.
PADDY pada sidang media di Seremban, hari ini. FOTO Adzlan Sidek.
Hasbi Sidek


BEBERAPA individu termasuk anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), antara yang disiasat kerana disyaki terbabit dalam penyeludupan minuman keras ke negara ini.

Malah, dua lelaki tempatan turut ditahan selepas disyaki terbabit kegiatan penyeludupan rokok di Pelabuhan Klang, Selangor, dengan memalsukan borang ikrar produk yang dibawa masuk.

Ia susulan dua serbuan JKDM yang berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok dan minuman keras itu di pelabuhan berkenaan, pada April lalu dan semalam.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Paddy Abd Halim berkata, JKDM menerusi Ops Jaring pada April lalu berjaya menggagalkan usaha menyeludup sebanyak 1.9 juta liter minuman keras dianggarkan bernilai RM11.4 juta membabitkan cukai sebanyak RM54.96 juta di dua gudang di Pelabuhan Klang.

“Barangan itu diseludup menggunakan 113 kontena bersaiz 40 kaki dan kami percaya sindiket itu menjadikan gudang di pelabuhan terbabit sebagai stor penyimpanan sementara atau transit sebelum ia dijual ke pasaran tempatan.

“Melalui serbuan itu, beberapa individu termasuk anggota kastam serta syarikat yang disyaki terbabit dalam penyeludupan minuman keras disiasat Unit Siasatan Dalaman (USD) JKDM,” katanya pada Majlis Pelupusan Minuman Keras dan Rokok Seludup, di Seremban, hari ini.

Terdahulu, JKDM melupuskan lebih 1.9 juta liter minuman keras dan 10.32 batang rokok seludup bernilai RM12.41 juta di tapak pelupusan di Mambau, hari ini selepas tiada pihak yang tampil menuntut barangan berkenaan sejak dirampas JKDM pada April lalu dan semalam.

Mengulas mengenai serbuan semalam, Paddy berkata, rampasan 10.32 juta batang rokok bernilai RM1.01 juta membabitkan cukai RM6.91 juta dijalankan di pelabuhan sama.

“Penemuan barangan rampasan ini adalah hasil pemeriksaan terhadap sebuah kontena yang diikrar sebagai barangan import skirt, pakaian wanita dan ves.

“Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket adalah membuat pengikraran Borang Kastam 1 (Import) palsu dari segi butiran dagangan dan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun ditahan untuk siasatan.

“Siasatan untuk kedua-dua kes ini masih diteruskan dalam usaha membawa pihak yang terbabit ke muka pengadilan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyeludupan di negara ini diminta untuk menghubungi JKDM untuk tindakan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 12:11 PM