Izlaily Nurul Ain Hussein


TINDAKAN tegas perlu diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota polis yang melakukan kesalahan menyalahi undang-undang termasuk dua anggota yang ditahan di Kuantan, Pahang, semalam selepas disyaki menjadi dalang dalam kes samun seorang ahli perniagaan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, beliau amat menyokong penuh tindakan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun yang serius dalam menangani isu membabitkan polis yang menyalahi undang-undang.

"Dalam kes di Kuantan, saya dimaklumkan dua anggota polis terbabit dan seorang orang awam.

"Saya lihat KPN betul-betul serius dalam mengambil tindakan pada polis yang menyeleweng dan pecah amanah atau mana-mana yang tidak mematuhi sumpah mereka mempertahankan negara.

"Saya alu-alukan tindakan KPN untuk mengambil tindakan pada mana-mana polis yang melanggar undang-undang dan kenakan tindakan keras," katanya ketika sidang media selepas program bersarapan bersama rakyat di Taman Kempas, Johor Bahru, hari ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan dan pihaknya turut memandang serius penggunaan senjata api dalam kes itu yang juga satu kesalahan berat sekiranya suspek menggunakannya tanpa izin.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Sharul Othman Mansor, mengesahkan ada anggotanya terbabit dalam kes itu, namun enggan mengulas lanjut sama ada kedua-dua suspek adalah anggota trafik atau bukan.

"Kes ini masih dalam siasatan dan setakat ini saya boleh mengesahkan memang ada anggota trafik yang terbabit dalam kes yang disiasat.

"Saya tidak boleh ulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan, tetapi saya boleh sahkan ada anggota trafik yang terbabit dalam kes ini," katanya pada sidang media Op Saman Tertunggak Warganegara Asing (OSTWA) Kelapan di Kawasan Rehat dan Rawat Pandan, Johor Bahru, hari ini.

Berita berkaitan

Penyamun tercicir barang bukti

Dompet anggota tercicir rupanya

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 November 2017 @ 2:00 PM