NASSURUDDIN ketika sidang media selepas Jamuan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
NASSURUDDIN ketika sidang media selepas Jamuan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Kerajaan negeri akan mengadakan solat sunat Istisqa' sekali lagi bagi memohon hujan sekiranya keadaan kemarau di negeri ini masih berpanjangan.

Sebelum ini, 14 parlimen di Kelantan mengadakan solat sunat berkenaan susulan kemarau yang teruk sebagai usaha memohon rahmat daripada Allah SWT.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nassuruddin Daud berkata, apabila berdepan musim panas dan tiada hujan, solat sunat Istisqa' sunat dibuat bagi memohon hujan.

"Kerajaan negeri sudah memberikan arahan kepada semua pimpinan masyarakat di seluruh negeri untuk mengadakan solat sunat Istisqa'.

"Alhamdulillah, doa kita didengari oleh-Nya apabila berlaku hujan pada pagi hari raya pertama selepas mengadakan solat sunat Istisqa' sehari sebelum Aidilfitri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Jamuan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim, di sini, hari ini.

Nassuruddin berkata, dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, rakyat dinasihatkan supaya mengehadkan aktiviti di luar rumah khususnya kanak-kanak.

"Sekiranya tidak ada keperluan mendesak, tidak perlu keluar rumah disebabkan cuaca panas dan kita perlu mengambil langkah pencegahan bagi mengelakkan kejadian strok haba.

"Baru-baru ini berlaku satu kematian membabitkan seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun dari Bachok akibat strok haba," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 April 2024 @ 2:54 PM