ANTARA yang hadir semasa solat sunat istisqa bagi memohon hujan anjuran Dewan Ulama PAS Kedah, di Mong Gajah, Tasik Pedu semalam. FOTO Ihsan Pembaca
ANTARA yang hadir semasa solat sunat istisqa bagi memohon hujan anjuran Dewan Ulama PAS Kedah, di Mong Gajah, Tasik Pedu semalam. FOTO Ihsan Pembaca
Noorazura Abdul Rahman


SERAMAI 300 penduduk sekitar Tasik Pedu bersama Dewan Ulama PAS Kedah mengadakan solat sunat Istisqa bagi memohon hujan berlaku di empangan di Kedah.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Ahmad Yahaya berkata, solat itu dilakukan di kawasan Mong Gajah iaitu perkampungan lama yang timbul kembali akibat kemarau selepas ditenggelamkan pada 1969.

Katanya, solat itu dilakukan pada 1.30 tengah hari semalam dengan diimamkan Ketua Dewan Ulama PAS negeri, Rodhi Abd Rahman.

“Penganjuran solat sunat ini adalah ekoran kemarau berpanjangan di Kedah sehingga menyebabkan air di Empangan Muda, Pedu dan Ahning menjadi surut sehingga berlaku gangguan bekalan air.

“Alhamdulillah, solat itu dihadiri penduduk setempat bagi berdoa memohon hujan demi kesejahteraan rakyat,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Solat sunat Istisqa adalah sunnah Nabi Muhamad SWT yang dilakukan baginda ketika menghadapi kemarau.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Februari 2020 @ 4:27 PM