Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan di jalan Tembila-Kampung Raja, Besut malam tadi. Ihsan polis
Keadaan motosikal mangsa selepas kemalangan di jalan Tembila-Kampung Raja, Besut malam tadi. Ihsan polis
Oleh Nurul Fatihah Sulaini


Besut: Seorang penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Besut maut selepas motosikal ditunggangnya bertembung sebuah kereta di Jalan Tembila-Kampung Raja di sini ketika dalam perjalanan pulang selepas berbuka puasa malam tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Muhammad berkata, Mohamad Faisal Haqimie Hapizul, 22, dari Sri Damansara, Kuala Lumpur disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal Yamaha 135LC ditunggangnya bertembung sebuah kereta Proton Iswara Aeroback.

"Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampus selepas berbuka puasa di sebuah kedai makan di Kampung Raja.

"Sementara itu Proton Iswara Aeroback dari arah Kampung Kepala Gajah ke Kampung Pengkalan Nyireh.

"Siasatan awal mangsa dikatakan memotong sebuah kenderaan sebelum bertembung dengan kereta yang dipandu seorang lelaki berumur 24 tahun itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi dan dibawa ke Hospital Besut untuk bedah siasat.

Dalam perkembangan sama, pengurusan UniSZA turut merakam ucapan takziah atas kehilangan Mohamad Faisal Haqimie pelajar jurusan Fakulti Informatik dan Komputeran.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 1:34 PM