KAKITANGAN UniSZA Kampus Tembila, Besut diangkut menggunakan lori selepas laluan ke kampus itu ditenggelami air, hari ini. FOTO ihsan UniSZA.
KAKITANGAN UniSZA Kampus Tembila, Besut diangkut menggunakan lori selepas laluan ke kampus itu ditenggelami air, hari ini. FOTO ihsan UniSZA.
Ahmad Rabiul Zulkifli


LEBIH 30 kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Kampus Tembila, Besut diangkut menggunakan lori selepas laluan ke kampus itu ditenggelami air sejak kelmarin.

Sebuah lori Jabatan Keselamatan UniSZA disediakan kepada kakitangan untuk membawa mereka dari Kampung Raja ke kampus UniSZA di Tembila.

Pustakawan UniSZA, Norhazura Yunus,37, berkata semua kakitangan dimaklumkan awal oleh pihak keselamatan untuk menaiki lori ke tempat kerja jika banjir berlaku di kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah, dengan adanya kemudahan ini, kami rasa lebih selamat dan tidak perlu risau kerana laluan harian ke kampus agak berisiko jika diredah dengan kereta dan motosikal.

“Walau apa keadaan sekali pun, kami tetap perlu berkerja melainkan keadaan bertambah buruk dan diisytiharkan darurat,” katanya yang berasal dari Kampung Alor Lintang, Besut.

Penolong Pegawai Perubatan UniSZA, Mohd Badrul Hisyam Mat Nasir, 30, berkata, lori disediakan itu sangat membantu dan memudahkan urusannya ke tempat kerja.

“Setiap hari saya tunggang motosikal dari Kampung Raja ke kampus, tapi hari ini saya naik lori sebab jalan sudah dinaiki air pada paras sedalam 0.3 meter dan saya tidak berani untuk meredahnya.

“Saya mengangkut motosikal dengan lori untuk memudahkan pergerakan di dalam kampus nanti.

“Pengalaman pertama terpaksa menaiki lori ke kampus, walaupun agak menyusahkan tetapi menyeronokkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Terengganu (SJPBT), Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, semua penduduk perlu sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga terutama di kawasan banjir.

“Penduduk perlu sentiasa mengutamakan keselamatan dan mendapatkan bantuan daripada pihak bertanggungjawab sekiranya perlu.

“Penduduk terjejas banjir dan mungkin terlepas pandang boleh menghubungi pemimpin komuniti setempat termasuk Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan mereka atau JPBN Daerah masing-masing,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Disember 2019 @ 9:30 PM