BANGKAI dugong ditemukan di pantai Tanjung Leman, Kota Tinggi pada minggu lalu. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Johor
BANGKAI dugong ditemukan di pantai Tanjung Leman, Kota Tinggi pada minggu lalu. FOTO Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Johor
Mary Victoria Dass


Johor Bahru: Sebanyak 10 kes kematian dugong termasuk anak dugong direkodkan di perairan negeri ini antara 2015 hingga 2022.

Terbaharu, seekor dugong dewasa sepanjang hampir satu meter ditemukan terdampar di kawasan pantai berhampiran Tanjung Leman, Kota Tinggi pada 30 Mac lalu.

Jurucakap Jabatan Perikanan Negeri Johor berkata, bertindak hasil aduan awam, anggota Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Mersing bergegas ke lokasi untuk pemeriksaan.

"Sampel bangkai dugong itu diambil untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kematian.

"Pemeriksaan awal percaya dugong berkenaan mati sejak beberapa hari lalu," katanya memaklumkan perairan Johor adalah satu-satunya tempat di Semenanjung Malaysia di mana dugong boleh ditemukan.

Menurutnya, populasi dugong semakin berkurangan akibat ancaman kehilangan serta kemusnahan habitat dan ekosistem rumput laut.

"Walaupun tiada data populasi dugong yang tepat di kepulauan Mersing, Pertubuhan Penyelidikan MareCet menganggarkan populasi dugong kurang daripada 100 ekor sahaja," katanya.

Justeru, katanya, Jabatan Perikanan kini sedang dalam proses untuk mewartakan kepulauan Mersing sebagai kawasan santuari dugong untuk melindungi populasi dugong dan rumput laut.

Katanya, pihaknya berharap santuari ini dapat memberi perlindungan kepada spesies itu, malah meningkatkan kesedaran masyarakat berkaitan spesies terancam terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 April 2024 @ 2:16 PM