ANTARA cabaran utama Jabatan Taman Laut Malaysia Johor ialah menangani kematian spesies hidupan terancam seperti dugong.
ANTARA cabaran utama Jabatan Taman Laut Malaysia Johor ialah menangani kematian spesies hidupan terancam seperti dugong.

Keunikan kawasan perairan dan semua 13 Taman Laut Johor di Mersing yang mempunyai spesies hidupan laut terancam seperti penyu dan dugong menjadikan kawasan itu tumpuan pelancong dalam mahupun luar negara setiap tahun.

Sebagai langkah berterusan memulihara khazanah bernilai yang terdapat di Taman Laut itu, pelbagai langkah diambil Jabatan Taman Laut Malaysia Negeri Johor (JTLMJ) termasuk penguatkuasaan dan kempen kesedaran kepada orang ramai.

Orang ramai khususnya pelancong ke pulau peranginan dan semua kawasan Taman Laut Johor diingatkan sentiasa menjaga struktur semula jadi serta ekosistem dengan tidak menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang termasuk menangkap ikan.

Ini kerana kawasan Taman Laut adalah zon larangan bagi sebarang aktiviti menangkap ikan termasuk penyu yang termaktub menurut peruntukan di bawah Akta Perikanan 1985 (Pindaan 1994).

Pengarah JTLMJ Mohd Nizam Ismail berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di semua kawasan Taman Laut Johor bagi melindungi kawasan itu dari sebarang aktiviti pencerobohan dan menyalahi undang-undang.

“Mereka yang melakukan kesalahan di kawasan larangan Taman Laut boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Selain pameran kesedaran kepada orang ramai dan penguatkuasaan undang-undang, JTLMJ turut menjalankan pemantauan kualiti air empat kali setahun bagi memastikan ia sentiasa dalam keadaan baik serta sesuai dengan kehidupan marin di kawasan itu.

“Kualiti air di Taman Laut Johor berada pada tahap kelas satu iaitu terbaik bagi kawasan perlindungan hidupan marin selain habitat rumput laut yang subur terutama perairan Pulau Sibu dan Pulau Tinggi menjadi kawasan itu boleh ditemui spesies penyu dan dugong,” katanya.

Sehingga November 2016 lapan kes pencerobohan kawasan Taman Laut dikesan iaitu kesalahan menangkap ikan di kawasan larangan perikanan.

“JTLMJ meningkatkan penguatkuasaan mikro di semua Taman Laut Johor dengan memberi tumpuan ke atas kerosakan terumbu karang secara langsung dan tidak langsung.

“Penguatkuasaan sedia ada pula tertumpu pada aktiviti pencerobohan nelayan di Taman Laut membabitkan pengawasan aktiviti rekreasi dan kesalahan yang dilakukan pelancong serta orang awam,” katanya.

Pihak penguat kuasa akan bertindak secara terus memantau segala aktiviti di dalam air terutama di kawasan perairan Taman Laut.

Antaranya mengawasi pelancong yang menjalankan aktiviti snorkeling dan skuba dengan niat cuba mengambil atau merosakkan batu karang serta hidupan lain sama ada hidup atau mati, serta penggunaan alat untuk menangkap hidupan laut.

“JTLM akan meningkatkan pemantauan di tempat tumpuan pelancong dan orang awam menggunakan perkhidmatan penyelam JTLMJ yang bertauliah,” katanya. -Zul Ikhwan Muhammad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Jun 2017 @ 10:28 AM