KK Super Mart di Bidor beroperasi seperti biasa selepas berlaku kejadian khianat pada 26 Mac lalu. FOTO arkib NSTP
KK Super Mart di Bidor beroperasi seperti biasa selepas berlaku kejadian khianat pada 26 Mac lalu. FOTO arkib NSTP
Amir Abd Hamid


Kuala Lumpur: Penyelidik bimbang suasana tegang berikutan isu penjualan stoking tertera kalimah 'Allah' di rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) akan diambil kesempatan oleh pihak tertentu dari luar negara untuk menjadikan Malaysia huru-hara.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, Prof Dr Azmi Hassan berkata, susulan kemungkinan itu, semua pihak khususnya ahli politik diminta tidak menghangatkan lagi keadaan semasa.

Katanya, dua kejadian 'bom petrol' dibaling ke KK Super Mart, baru-baru ini, tidak boleh diambil mudah sebaliknya perlu diambil serius oleh setiap anggota masyarakat di negara ini.

"Kejadian itu memang amat mendukacitakan. Masalahnya apabila isu ini 'diambil alih' ataupun diprovokasi oleh orang politik, maka inilah akibatnya.

"Jika setakat memboikot, itu kira boleh tahan lagi. Tetapi apabila ada tindakan secara fizikal maka ini perlu diberhentikan serta-merta.

"Sekarang bukan masalah perundangan. Saya pasti PDRM (Polis Diraja Malaysia) akan mengambil langkah segera dalam isu tindakan fizikal ini. Tetapi isunya telah dipergunakan untuk manfaat politik," katanya.

Apa yang dibimbangi, katanya, adalah mungkin ada pihak ketiga dari luar negara yang sememangnya menunggu untuk mengambil peluang menghuru-harakan keadaan negara.

Malah, katanya, mahu tidak mahu memang ada dikatakan pihak ketiga menjadikan lagi keadaan Malaysia lebih huru-hara.

"Yang paling mudah adalah menggunakan isu agama. Apabila saya cakap orang ketiga ini bukannya orang tempatan tetapi orang luar yang mahu melihat Malaysia huru-hara dan bersengketa. Jadi inilah yang amat dibimbangi jika perkara ini tidak ditangani dengan segera serta-merta.

"Jadi sebab itu Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bertitah supaya 'berhenti' dan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah juga mengatakan 'berhenti', sepatutnya ia disambut oleh orang politik untuk menenangkan penyokong-penyokongnya atau pun mereka yang telah terluka hatinya atas sebab isu ini," katanya.

Terdahulu iaitu pada 13 Mac lalu, tular dalam media sosial isu stoking tertera kalimah 'Allah' dijual di KK Mart Bandar Sunway, selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Menyusulinya iaitu pada pada 16 Mac lalu, KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd (KK Super Mart) memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah 'Allah' di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Pada 26 Mac lalu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Shah Alam atas dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah.

Sementara itu pasangan suami isteri, Soh Chin Huat, 61, dan Goh Li Huay, 62, serta anak perempuan mereka Soh Hui San, 36, yang juga pengarah bagi syarikat pengedar Xin Jian Chang Sdn Bhd, turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkenan pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Pada 26 Mac juga, kejadian khianat iaitu balingan botol kaca disyaki berisi minyak tanah atau gasolin disedari jam 5.35 pagi oleh pekerja rangkaian kedai serbaneka KK Super Mart di Bidor, Perak namun tidak mengakibatkan kebakaran di kedai itu.

Semalam, kira-kira jam 5.14 pagi sebuah lagi cawangan kedai serbaneka itu di Sungai Isap, Kuantan, Pahang yang baru dua minggu beroperasi dilempar 'bom petrol'.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 1:59 PM