Anak kecil beratur menunggu dengan makanan siap dimasak untuk berbuka puasa...FOTO Ihsan Facebook MAIK
Anak kecil beratur menunggu dengan makanan siap dimasak untuk berbuka puasa...FOTO Ihsan Facebook MAIK
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Sumbangan yang disalurkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) berjumlah RM150,000 menerusi Misi Khas Ramadan Gaza 2024 memberi manfaat kepada 8,400 keluarga di Gaza.

Menerusi kenyataan Facebook MAIK, bantuan dalam bentuk hidangan makanan panas yang diuruskan oleh Pertubuhan Viva Palestina Malaysia bermula pada 14 Mac lalu secara tidak langsung memberi kegembiraan kepada 32,000 hingga 42,000 penduduk Gaza.

Katanya, MAIK mengucapkan terima kasih kepada pertubuhan berkenaan yang menjadi penghubung untuk menyampaikan sumbangan serta menggembirakan penduduk Gaza selama 21 hari melalui program Iftar Masakan Panas MAIK.

"Kami turut dimaklumkan, pihak pertubuhan berkenaan dengan bantuan bukan kerajaan (NGO) di sana akan meneruskan bantuan masakan panas ini selama enam hari lagi.

"Jutaan terima kasih juga dizahirkan kepada semua penyumbang kerana sekecil-kecil sumbangan ini amat bermakna buat saudara seagama kita di sana," katanya.

Menerusi kenyataan sama, selepas Rafah, Pertubuhan Viva Palestina Malaysia menerusi sumber dana yang diberikan oleh MAIK meneruskan penyediaan bantuan makanan panas kepada penduduk di Khan Younis iaitu di kawasan bandar selatan Gaza.

"Pada 24 Mac lalu, kami dimaklumkan pihak pertubuhan menyediakan juadah berbuka kepada 450 keluarga di Khan Younis.

"Bantuan makanan panas yang membekalkan tenaga ini dimasak oleh anggota pertubuhan dengan bantuan NGO di sana bagi memastikan mereka dapat merasai kenikmatan berbuka," katanya.

Katanya, sumbangan yang disampaikan kepada penduduk di sana adalah hasil daripada kutipan derma masyarakat di Kelantan menerusi Tabung Palestin yang diwujudkan di seluruh masjid di negeri ini oleh MAIK.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Mac 2024 @ 8:33 AM