JOHAN Ariff menunjukkan kotak makanan yang sudah siap untuk diagihkan kepada 2,080 penduduk Palestin. FOTO Ihsan MAIK
JOHAN Ariff menunjukkan kotak makanan yang sudah siap untuk diagihkan kepada 2,080 penduduk Palestin. FOTO Ihsan MAIK
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyumbangkan RM150,000 kepada badan bukan kerajaan (NGO) I Relief and Humanitarian Outreach Malaysia (iReach) untuk disalurkan kepada rakyat Palestin menerusi Misi Khas Ramadan Gaza 2024.

Menerusi kenyataan Facebook MAIK, berikutan keadaan di sana yang masih dihujani dengan bedilan, pihak iReach dengan jaminan Kedutaan Palestin di Kaherah akan memastikan kesemua bekalan berkenaan akan sampai pada hari ini.

Katanya, bantuan berkenaan diuruskan oleh Pengarah iReach, Johan Ariff Ismail dengan kerjasama NGO di sana supaya ia dapat diterima terus oleh penduduk Palestin.

"Keperluan ini dibawa masuk ke Semenanjung Gaza menggunakan jalan darat dan kotak makanan yang sudah siap sedia ini bakal diterima oleh 2,080 penduduk yang sedang bergelut dengan kebuluran di sana.

"Dengan kerjasama iReach, pihak MAIK menyumbangkan makanan siap dimasak, wang tunai dan barangan makanan lain yang memudahkan penduduk khususnya di Rafah, Tengah Gaza dan Jabalia.

"Selain itu, menerusi bantuan berkenaan MAIK turut menyediakan bekalan gandum yang mana, bekalan ini akan mampu bertahan sehingga dua bulan untuk setiap keluarga," katanya.

Katanya, meskipun berpuasa dalam suasana kebuluran yang memuncak sudah biasa buat mereka, namun rakyat di bumi Gaza perlu dibantu dalam apa jua cara meskipun dan sekecil manapun bantuan supaya Ramadan kali ini dapat dinikmati seadanya.

"Lebih menyedihkan lagi, bersahur dan berbuka puasa dalam suasana terlampau ala kadar dan suram menyelubungi penduduk di Semenanjung Gaza akibat serangan yang semakin dahsyat ke atas mereka.

"Doakan agar bekalan makanan yang disumbangkan ini diterima di tangan anak-anak kecil dan ibu bapa mereka yang diharapkan mampu mengalas perut dalam suasana kehancuran di sana," katanya.

Menerusi kenyataan sama, pihak MAIK turut bekerjasama dengan Pertubuhan Viva Palestina Malaysia bagi menyediakan makanan bersih untuk penduduk di Rafah berbuka puasa.

"Makanan ini dimasak oleh pertubuhan dan diagihkan kepada kira-kira 1,200 hingga 1,800 penduduk sehari terutamanya kepada kanak-kanak.

"Wakil pertubuhan mengucapkan terima kasih kepada pihak MAIK atas sumbangan berkenaan yang sedikit sebanyak dapat melegakan rasa lapar dan dahaga penduduk di bumi bergolak ini," katanya.

Katanya, betapa peritnya penduduk di sana yang sedang bergelut dengan kelaparan dan bedilan namun masih kuat untuk beribadat di bulan Ramadan.

"Justeru, pada bulan Ramadan ini jangan sesekali kita membazir dalam berbelanja. Ingatlah insan yang kelaparan di Gaza dan bersederhanalah kita untuk mendekatkan diri kita kepada Allah SWT.

"Sumbangan yang disampaikan oleh MAIK kepada saudara seagama di Palestin ini adalah hasil daripada kutipan derma masyarakat di Kelantan menerusi Tabung Palestin yang diwujudkan di seluruh masjid di negeri ini oleh MAIK," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mac 2024 @ 8:16 AM