Sebahagian penduduk Palestin yang menerima sumbangan makanan dan kit penjagaan kebersihan yang disampaikan oleh sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) I Relief and Humanitarian Outreach Malaysia (iReach). FOTO FACEBOOK MAIK
Sebahagian penduduk Palestin yang menerima sumbangan makanan dan kit penjagaan kebersihan yang disampaikan oleh sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) I Relief and Humanitarian Outreach Malaysia (iReach). FOTO FACEBOOK MAIK
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menghulurkan bantuan RM30,000 kepada penduduk Palestin yang terkesan akibat kezaliman Israel.

Yang Dipertua Maik yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, Maik simpati dengan penderitaan dilalui saudara seagama di Palestin yang diserang dengan bedilan peluru serta bom rejim zionis.

Beliau berkata, atas dasar tanggungjawab serta perikemanusiaan, Maik tampil menghulurkan bantuan RM30,000 kepada penduduk Palestin.

"Jarak tidak membataskan untuk kami berbakti dan wang sumbangan berkenaan disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) I Relief and Humanitarian Outreach Malaysia (iReach) untuk disampaikan kepada mereka yang memerlukan di sana.

"Diharapkan ia dapat mengembalikan senyuman mereka yang diuji dalam mempertahankan agama Islam dan tanah air mereka.

"Alhamdulillah, dalam tempoh kurang 24 jam, sumbangan Maik tiba di Palestin dan seramai 20 sukarelawan iReach yang bertugas di sana segera mengagihkan bantuan makanan dan kit penjagaan kebersihan kepada 250 keluarga selepas kediaman mereka musnah akibat letupan serta bedilan roket zionis," katanya.

Mohamad Rizam berkata, iReach diwakili Pengarahnya, Johari Ariff Ismail mengucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Maik kerana memberi kepercayaan dan amanah kepada pihaknya untuk menjadi penghubung bagi membantu saudara kita di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Mei 2021 @ 6:04 PM