TRELER membawa muatan 30 tan tepung sumbangan Econsave ke Gaza. FOTO Ihsan Econsave
TRELER membawa muatan 30 tan tepung sumbangan Econsave ke Gaza. FOTO Ihsan Econsave
Omar Ahmad


Johor Bahru: Pasaraya Econsave Cash and Carry dengan kerjasama MyCare menghantar 30 tan tepung kepada penduduk Gaza, Palestin.

Pengurus Besarnya, Mas Imran Adam berkata, penghantaran itu dijangka dapat diselesaikan minggu ini.

Katanya bantuan sepenuhnya hasil sumbangan Econsave bernilai RM90,000 akan disampaikan dengan kerjasama MyCare.

"Insya-Allah dalam minggu ini sebuah treler dengan muatan 30 tan tepung akan memasuki Gaza, ia akan memberi manfaat kepada lebih 18,000 penduduk Gaza.

"Tepung ini kita beli di Mesir, saya dimaklumkan oleh wakil di sana lori terbabit sudah sampai di sempadan Rafah, dalam beberapa hari lagi akan masuk ke Gaza, insya-Allah.

"Tepung dipilih kerana ia adalah makanan ruji penduduk di sana, selain ia dapat tahan lebih lama dan mudah untuk disediakan.

"Sama-sama kita doakan agar penghantaran tepung ini yang menjadi antara sumber makanan utama di negara konflik itu dapat disalurkan dengan mudah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mas Imran berkata, ia adalah fasa bantuan berterusan ke Gaza sejak peperangan tercetus antara Palestin dan Rejim Zionis, sejak Oktober tahun lalu.

"Sebelum ini kami menghulurkan bantuan dengan penghantaran air mineral, makanan panas, khemah serta baju sejuk.

"Insya-Allah bantuan ini akan berterusan dengan sumbangan dan doa-doa semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 April 2024 @ 5:20 PM