Lokasi penemuan mayat Subakir selepas empat hari hilang di Sejagong, Sri Medan pagi ini. FOTO Alias Abd Rani
Lokasi penemuan mayat Subakir selepas empat hari hilang di Sejagong, Sri Medan pagi ini. FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani


Batu Pahat: Misteri kehilangan lelaki warga emas sejak Isnin lalu, akhirnya terjawab apabila mayatnya ditemukan di kawasan lapang berdekatan ladang kelapa sawit di Kampung Sejagong, Sri Medan di sini, pagi tadi.

Mayat Subakir Latipan, 80, ditemui penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari hampir tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Terdahulu warga emas itu dilaporkan menunggang motosikal dari rumahnya di Parit Yusoff ke Sejagong, Sri Medan yang mengambil masa sejam Isnin lalu.

Anak bongsunya, Hazli Subakir, 35, berkata berita menyedihkan itu diterima sekitar jam 9 pagi ketika dia sekeluarga menunggu dengan penuh harapan bapanya ditemui dalam keadaan selamat.

Menurutnya, dia sekeluarga mendapat berita menyedihkan itu apatah lagi ketika umat Islam dengan menyambut Ramadan.

"Terjawablah selama empat hari kami mencari dan menanti penuh harapan. Kami reda atas pemergian ayah, semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya ketika ditemui.

Menurutnya lagi, dia sekeluarga masih menunggu laporan perubatan mengenai punca kematian ayahnya.

"Sama ada arwah ayah lemas atau sebagainya, itu saya tidak dapat pastikan. Malah, pada hari kedua ayah dilaporkan hilang, ada penduduk nampak kelibatnya. Itu saksi terakhir yang beritahu namun saya tidak dapat memastikannya," katanya.

Ketika ditanya kenapa arwah bapa ke Sejagong, Hazli memberitahu, mereka sekeluarga masih tertanya-tanya apakah tujuan sebenar ayahnya ke sana.

"Kami tinggal di Parit Yusoff dan ayah dia datang ke lokasi (Sejagong) itu bukan untuk memancing... ayah bukan kaki pancing.

"Kebiasaannya, setiap petang arwah akan keluar menunggang motosikal ke bazar di Parit Yaani mencari makanan berbuka puasa.

"Jadi, kami tidak tahu kenapa dia ke sana, ia masih menimbulkan misteri. Sebab perjalanan jauh selama sejam dari Parit Yusof ke Sri Medan kemudian Sejagong," katanya.

Sejak Allahyarham Subakir dilaporkan, operasi mencari dan menyelamat bermula Isnin lalu dan hanya menemui sebelah selipar dan motosikal ditunggangnya dalam parit.

Polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penemuan mayat berkenaan setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 3:08 PM