TUKANG rumah terima lima jahitan di kepala dan retak tapak tangan kiri.
TUKANG rumah terima lima jahitan di kepala dan retak tapak tangan kiri.
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


“KAMI kenal ayah dan dia takkan bertindak sebegitu kepada adik.

“Tak mungkin dia bertindak sebegitu memandangkan adik, anak yang paling ayah sayang,” kata Wan, 28.

Dia memang terkejut apabila mendapat tahu kejadian adik perempuannya dipukul dengan tukul dan ayahnya dituduh serta kini direman.

“Berdasarkan cerita jiran dan saudara-mara yang ke rumah selepas mengetahui kejadian itu ayah seperti tidak sedar,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, melihat kejadian itu, seorang ahli keluarga membacakan surah Yasin pada ayah, baru dia sedar dan meronta-ronta sebelum melarikan diri dengan menunggang motosikal.

“Bagaimanapun, motosikalnya merempuh sebuah kedai penduduk dan disebabkan itu kepala ayah luka dan tulang tapak tangan kirinya retak.

“Bukannya ayah mencederakan dirinya sendiri. Bila seseorang dalam keadaan sebegitu (dirasuk), macam-macam perkara luar jangka boleh terjadi,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Malah, katanya, ketika dirawat di Hospital Parit Buntar, ayahnya yang bekerja sebagai tukang rumah sempat memberitahu tidak mengingati apa yang berlaku dan seperti terpinga-pinga apabila didekati sejurus kejadian.

Wan berkata, adiknya memang baru tamat pengajian dan menerima dua tawaran bekerja, tetapi belum membuat pemilihan.

Menurutnya, tawaran itu meminta adiknya melapor diri bulan depan, namun dia dalam dilema untuk memilih pekerjaan terbaik.

Dia juga meminta kejadian itu tidak diperbesarkan hingga mengaibkan mereka sekeluarga.

Katanya, hanya mereka sekeluarga yang tahu apa yang berlaku dan dia juga mendesak supaya semua pihak menghentikan penyebaran gambar adiknya yang dirawat di hospital.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, bapa mangsa direman lima hari sehingga 9 Mac ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 10:00 AM