MOHD Fadel (berbaju hijau) menziarahi keluarga Ayu yang menumpang berteduh di sebuah rumah di Kluang Johor. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT.
MOHD Fadel (berbaju hijau) menziarahi keluarga Ayu yang menumpang berteduh di sebuah rumah di Kluang Johor. FOTO MOHAMAD FAHD RAHMAT.
Mohamad Fahd Rahmat


Kluang: Berhutang berpuluh ribu ringgit dengan ah long gara-gara terpedaya helah seorang bomoh yang mendakwa boleh merawat sakit misteri dialami mangsa.

Taktik licik bomoh berkenaan menyebabkan mangsa yang kini sudah meninggal dunia meninggalkan beban hutang termasuk kadar bunga tinggi yang terpaksa dijelaskan oleh waris.

Ayu (bukan nama sebenar), 30, mendakwa, arwah bapanya meminjam wang daripada pelbagai syarikat peminjam wang berlesen dan tidak berlesen bagi tujuan berubat.

"Abah juga berhutang dengan saudara-mara dan pencen abah kira-kira RM1,200 sebulan kini semuanya habis digunakan untuk membayar hutang.

"Selalunya yang tinggal dalam tangan, kira-kira RM80 dan disebabkan itu, emak yang berusia 67 tahun terpaksa bekerja sebagai pembungkus kerepek dengan hasil pendapatan kira-kira RM30 sehari.

"Abah memang pesan sebelum meninggal dunia supaya saya menyelesaikan semua hutangnya dengan ah long mahupun dengan saudara-mara," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Ayu mendakwa, ketika ayahnya masih hidup, bomoh berkenaan mengenakan denda atau 'dam' kepada ayahnya sekiranya melanggar pantang.

Katanya, jumlah denda berkenaan sekitar RM500 setiap kali kesalahan yang perlu dijelaskan dengan segera, jika tidak mahu sakit misteri ayahnya melarat.

"Disebabkan takut sakitnya bertambah teruk, ayah terpaksa meminjam dan perbuatan ini berulang dari masa ke masa.

"Malah, yang saya pelik setiap bulan ada sahaja panggilan telefon daripada bomoh berkenaan yang memberitahu ayah sudah melanggar pantang.

"Keadaan ini berlanjutan hinggalah ayah meninggal dunia pada awal tahun ini dan selepas itu, bomoh berkenaan tidak mengacau kami tetapi kami pula terpaksa menjelaskan hutang ayah dengan ah long," katanya.

Katanya, setiap bulan, dia kini perlu membayar sebanyak RM500 kepada ah long sehingga Disember ini.

"Itu belum lagi hutang arwah ayah dengan ah long lain. Kerana pinjaman lain dibuat mengikut alamat di rumah lama," katanya.

Katanya, tidak cukup dengan itu, mereka juga sekeluarga diuji lagi apabila dihalau keluar oleh tuan rumah kediaman disewa dan menyebabkan mereka kini terpaksa menumpang berteduh di rumah jiran.

"Kami tak tahu kenapa dihalau tuan rumah kerana kami tak pernah culas membayar sewa rumah sebanyak RM300 sebulan sejak tiga tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, penderitaan Ayu sekeluarga mendapat perhatian Pengerusi Tindakan Ekonomi Komuniti B40 Negeri Johor, Datuk Mohd. Fadel Alwi yang membantu mencarikan dan menjelaskan deposit untuk rumah sewa baharu.

"Kami juga sedang berusaha menjejaki bomoh penipu berkenaan dan akan berurusan dengan ah long berkenaan bagi menyelesaikan masalah hutang ah long arwah ayah Ayu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 April 2021 @ 9:49 AM