BEBERAPA penduduk di kawasan Kampung Sri Sejagong, Sri Medan, Batu Pahat menggunakan bot untuk meninjau keadaan kebun sawit mereka yang ditenggelami air banjir.
BEBERAPA penduduk di kawasan Kampung Sri Sejagong, Sri Medan, Batu Pahat menggunakan bot untuk meninjau keadaan kebun sawit mereka yang ditenggelami air banjir.

Batu Pahat: Penduduk di sekitar Kampung Sri Sejagong, Sri Medan, dekat sini, bimbang kembalinya banjir termenung di kawasan mereka selepas dilanda banjir, sejak Rabu lalu.

Penduduk, Mahadi Misnon, 51, berkata, kali terakhir berlaku banjir termenung ialah 18 tahun lalu yang turut dikhuatiri menjejaskan kebun sawit yang menjadi punca pendapatan.

Katanya, air banjir mula naik di kawasan kebun dan kediaman tiga hari lalu dan mendakwa ia dijangka semakin teruk kerana air banjir dari Labis, Segamat, mula menuju ke kawasan berkenaan.

"Air banjir yang mula memasuki kawasan kebun terbabit akan mengakibatkan kami mengalami kesukaran untuk memetik dan juga mengeluarkan buah sawit, selain dikhuatiri buah sawit akan rosak.

"Selain itu, pokok sawit ini juga dikhuatiri akan terjejas, sekali gus akan menjejaskan pendapatan kami," katanya kepada Bernama ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kampung Sri Sejagong di sini.

Menurutnya, beliau menjangkakan banjir 'termenung boleh berlaku antara seminggu hingga dua minggu dan akan menambah kesukaran mengeluarkan hasil pertanian itu.

Katanya, bagi penduduk sekitar, tanaman sawit merupakan pendapatan utama mereka dan tidak mempunyai pendapatan yang lain.

"Bagi kami buah sawit yang mampu dikeluarkan oleh pemilik kebun adalah sekitar tiga hingga empat tan untuk sekali tuai, yang boleh meraih pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 7:01 AM