ANTARA warga asing yang ditahan dalam operasi di sebuah pusat beli-belah di Taman Melati, Kuala Lumpur, hari ini.
ANTARA warga asing yang ditahan dalam operasi di sebuah pusat beli-belah di Taman Melati, Kuala Lumpur, hari ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Medan selera di sebuah pusat beli-belah di Taman Melati, di sini, dikesan menjadi 'tumpuan' pendatang asing tanpa izin (Pati) untuk bekerja secara haram.

Dalam operasi bermula kira-kira jam 3 petang itu, seramai 23 warga asing diperiksa dengan 18 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan Imigresen.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, pihaknya menerima aduan berhubung aktiviti membabitkan warga asing dipercayai Pati di pusat beli-belah berkenaan, baru-baru ini.

"Dalam operasi ini, kami melakukan pemeriksaan di kawasan lot kedai serta medan selera di pusat beli-belah berkenaan.

"Hasil pemeriksaan dilakukan, kami menahan 18 warga asing termasuk tiga wanita berusia antara 22 hingga 45 tahun atas pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen perjalanan diri dan pasport tamat tempoh.

"Kesemua warga asing yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki warga Bangladesh, tiga wanita Indonesia serta masing-masing seorang lelaki dari India, Pakistan dan Indonesia," katanya.

Wan Mohammed Saupee berkata, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 40-an yang juga majikan kepada Pati yang ditahan.

"Semua Pati yang ditahan dibawa ke Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi.

"Kesemua Pati yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Beliau turut menasihatkan supaya majikan tidak menggaji Pati bagi mengelak tindakan undang-undang dikenakan terhadap mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 4:56 PM