HAMZAH (dua dari kiri) dan Mohd Hafis (dua dari kanan) dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalah melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
HAMZAH (dua dari kiri) dan Mohd Hafis (dua dari kanan) dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan atas kesalah melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata. FOTO Abdul Rahemang Taiming.
Abdul Rahemang Taiming


Tawau: Dua lelaki masing-masing dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku salah melakukan rompakan berkumpulan menggunakan senjata ke atas seorang guru wanita 15 Mac lalu.

Hakim Rosli Ahmad membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah Muhamad Hafis, 20 dan warga asing, Hamzah Azri, 43, dan mensabitkan mereka dengan pertuduhan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa melakukan rompakan berkumpulan terhadap barang peribadi Nurhayati Sakka, 55, guru Kolej Vokasional Tawau, dekat sini, iaitu satu beg tangan, dompet, empat keping kad debit, selain masing-masing satu keping kad kredit, kad pengenalan, kad kesihatan, lesen memandu dan buku bank Tabung Haji.

Semasa melakukan rompakan itu, mangsa yang mahu keluar ke kolej didatangi dua individu tidak dikenali (tertuduh) sebelum diserang dan dijerut menggunakan tali 'nylon' selain dipukul beberapa kali menggunakan kayu di bahagian kepala dan tangan sebelum beg tangannya dilarikan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan kedua-dua tertuduh di Kampung Pasir Putih, Blok B Lorong 17 Garuda, kira-kira jam 5.40 pagi 15 Mac lalu.

Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua puluh tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Syahnidzam Ahmad memohon supaya mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah amat serius sehingga mengakibatkan mangsa mengalami trauma selain demi kepentingan awam.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuan masing-masing memohon agar hukuman diringankan.

Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh dipenjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 18 Mac selain memerintahkan Hamzah dirujuk ke Jabatan Imigresen sebaik selesai menjalani hukuman.

Dalam pada itu, Hamzah juga turut dihukum tiga tahun penjara selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Don Stiwin atas satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan iaitu melupuskan barang curi dalam kes terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2024 @ 6:02 PM