FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
BERNAMA

SEORANG pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan terhadap pasangan kekasih, Januari lalu.

Nor Fikri Edli Mohd Nordin, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim M.M Edwin Paramjothy.

Bagi semua pertuduhan, dia didakwa bersama-sama dua individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap mangsa berusia 26 tahun dan 25 tahun itu.

Tertuduh didakwa mengambil dua telefon bimbit, kad pengenalan, kad mesin juruwang automatik (ATM), dua keping MyKid, lesen memandu, wang tunai RM300 serta motosikal milik mangsa.

Lelaki itu dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Seri Utara 1, Jalan Batu 6 ½, Jalan Ipoh di sini pada 4 pagi, 30 Januari lalu.

Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana Mohd Jafri tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.

Tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 11 Mac ini untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Februari 2020 @ 3:51 PM