Petikan rakaman CCTV ketika seorang remaja menyamun menggunakan parang yang menjadi viral September lalu. - Foto Fail
Petikan rakaman CCTV ketika seorang remaja menyamun menggunakan parang yang menjadi viral September lalu. - Foto Fail
BERNAMA

Petaling Jaya: Remaja lelaki 17 tahun yang viral selepas rakaman CCTV dia menyamun di depan pondok pengawal di Kelana Jaya September lalu, dihukum penjara sembilan tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Manira Mohd Nor menjatuhkan hukuman itu terhadap remaja berkenaan selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah terhadap pertuduhan samun bersenjata di sebuah stesen minyak di Kelana Jaya, hujung September lalu.

Sebelum ini, remaja yang tidak bersekolah itu bersama rakannya R Pirabagaran, 20, mengaku tidak bersalah untuk tiga pertuduhan berkenaan.

Bagaimanapun Pirabagaran mengekalkan pengakuan tidak bersalahnya dan mahkamah menetapkan 29 Disember untuk sebutan semula kes.

Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon hukuman berat terhadap remaja itu mengambil kira keseriusan jenayah yang dilakukannya pada usia muda.

Peguam Muhamad Asri Abdul Hamid yang mewakili remaja itu memohon anak guamnya dikenakan hukuman ringan dengan alasan dia tidak bekerja dan ketika kejadian samun, masih muda, berusia 17 tahun.

Kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan menggunakan parang terhadap Mohamad Rasul Mohd Zukri, 26, dengan merampas kad pengenalan, kad Touch 'n Go dan sebuah kereta jenis Honda Civic milik mangsa.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan sama menggunakan parang terhadap Ain Nina Marji, 23, dengan merampas kad pengenalan, kad penguasa kastam, dua kad bank, sebuah telefon bimbit dan wang tunai RM200.

Bagi pertuduhan ketiga kedua-dua lelaki itu didakwa melakukan rompakan, yang juga menggunakan parang terhadap Prescella Wada, 23, dengan mengambil kad pengenalan, tiga keping kad bank dan wang tunai RM500.

Semua perbuatan itu dilakukan di tempat, waktu dan tarikh sama iaitu 3.45 pagi, di Stesen Minyak Petronas Jalan SS4B/10, Kelana Jaya, 23 September lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2016 @ 6:17 PM