Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Samsuri Mokhtar.
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) merealisasikan pelaburan bernilai RM2.4 bilion di Terengganu setakat Mac ini yang akan membuka 5,000 peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pelaburan itu termasuk dalam sektor pembuatan besi dan keluli, penanaman napier, kilang pulpa dan bekas makanan.

Menurutnya, pelaburan bernilai RM2.4 bilion itu mewakili 57 peratus daripada RM4.2 bilion sasaran pelaburan untuk negeri Terengganu tahun ini.

"ECERDC juga berjaya menarik pelaburan komited baharu bernilai RM1.02 bilion dalam sektor minyak, gas dan petrokimia (RM940 juta), perkhidmatan (RM50 juta), pelancongan (RM20 juta) dan pembuatan (RM10 juta) di Terengganu setakat Mac ini berbanding sasaran tahunan bernilai RM5.8 bilion.

"Sebanyak 65 peratus adalah pelaburan asing langsung (FDI) dengan pelaburan tertinggi diterima dari Jepun iaitu sebanyak RM660 juta.

"Melalui kerjasama erat antara pihak kerajaan negeri dengan kerajaan Persekutuan serta sokongan berterusan agensi berkaitan, saya percaya ECERDC akan terus meraih kepercayaan pelabur dan menarik lebih banyak pelaburan baharu berimpak tinggi.

"Ini akan menjadikan negeri Terengganu kekal berdaya saing sebagai salah sebuah destinasi pelaburan utama di Pantai Timur," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Terengganu di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat yakin peranan yang dimainkan oleh ECERDC sebagai 'one-stop agency' yang memberikan khidmat memudahcara pelaburan secara 'end-to-end' adalah penting untuk merealiasasikan pelaburan dan membuka pintu kepada aktiviti-aktiviti ekonomi di Terengganu.

Beliau berkata, ECERDC turut melaksanakan pelbagai aktiviti untuk menarik pelaburan baharu di Terengganu dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama sebuah syarikat penjanaan kuasa terkemuka dari China.

Katanya, mesyuarat ICCturut membincangkan pembangunan industri kenderaan rekreasi (RV) dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab RV di Asia Pasifik menjelang 2025.

"Ini termasuk pembangunan infrastruktur luaran dan kemudahan asas di tapak taman RV dan ECERDC juga sudah mengenal pasti beberapa lokasiberpotensi untuk dimajukan sebagai taman RV di Terengganu.

"Untuk projek jalan dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud ke Kuala Terengganu City Centre (KTAR 2) pula, kemajuannya sudah mencapai tahap 37 peratus setakat Februari lalu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Mac 2024 @ 2:23 PM