Muhammad Nasrullah Norhisham, 25, kini hanya mampu berbaring. FOTO AZRUL EDHAM
Muhammad Nasrullah Norhisham, 25, kini hanya mampu berbaring. FOTO AZRUL EDHAM
Ahmad Hasbi


Nilai: Dahulunya Muhammad Nasrullah Norhisham, 25, adalah pemuda aktif dan periang. Namun kini dia hanya mampu bergerak menggunakan kerusi roda selepas didapati menghidap kanser testis.

Bermula bengkak sebesar bola golf pada testis sekitar tahun 2022, kanser berkenaan menyebabkan daging pada anggota tubuh itu membesar tanpa disalut kulit dan berdarah apabila bergesel atau bergerak aktif.

Siti Hajar Ishak, 51, yang juga ibu tunggal terpaksa berhenti kerja kilang untuk memberi tumpuan kepada Muhammad Nasrullah.

Dia hanaya mengharapkan wang pencen Allahyarham suami untuk menyara kehidupan dan perbelanjaan perubatan. Menceritakan kembali permulaan menghidap kanser berkenaan, Muhammad Nasrullah berkata, dia tidak pernah mengalami sakit pada skrotumnya sebelum ini.

"Tiada tanda-tanda aneh pada bahagian itu. Namun pada pertengahan 2022, ia membengkak sebesar bola golf dan pada mulanya saya menyangka ia hanya angin pasang.

"Saya ke klinik membuat pemeriksaan sebelum dirujuk ke hospital untuk membuat imbasan tomografi berkomputer (CT Scan). Namun saya terkejut apabila disahkan menghidap kanser testis tahap 4," katanya ditemui di rumahnya di Taman Desa Klana, di sini.

Bercerita lanjut, bekas pekerja penghantar kurier itu berkata, dia menjalani pembedahan pada tahun sama, namun testisnya kembali membengkak tiga kali ganda seolah isi terkeluar dari bahagian itu.

"Disebabkan itu, saya hanya berbaring di rumah sahaja dan tidak dapat lagi bekerja atau membuat aktiviti lasak. Saya hanya mampu bergerak dalam rumah dengan bantuan kerusi roda.

"Saya juga terpaksa memakai lampin pakai buang dan menampal sejenis kapas khas kerana sentiasa ada air yang keluar pada bahagian bengkak itu. Jika tidak memakai lampin, seluar akan basah," katanya.

Tambahnya lagi, pernah beberapa kali bahagian itu berdarah, malah pernah terpaksa ke hospital untuk memberhentikan pendarahan.

Sementara itu, Siti Hajar berkata, anaknya itu sebelum ini menjalani kemoterapi di Institut Kanser Negara (IKN) di Putrajaya dan kini membuat pemeriksaan berkala.

"Dalam keadaan macam ini saya bersyukur kerana sehingga kini IKN ada memberikan bantuan lampin dan susu. Untuk bulan seterusnya, saya tidak pasti lagi dan perlu semaknya.

"Saya kini tidak bekerja lagi dan hanya mengharapkan wang pencen arwah suami untuk perbelanjaam harian dan kos perubatan Nasrul. Dua anak lelaki juga banyak membantu," katanya baru sahaja mengisi borang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Terdahulu, keluarga ini menerima kunjungan dan bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng, Datuk Mohd Asna Amin. Orang yang ingin membantu boleh menghubungi Muhammad Nasrullah di talian 0176687498.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mac 2024 @ 9:43 AM