KU Ahmad Azroy menjaga isterinya, Siti Nurul Atiqah Zainal yang menghidap kanser kulit dan lipoma ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Intan , Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
KU Ahmad Azroy menjaga isterinya, Siti Nurul Atiqah Zainal yang menghidap kanser kulit dan lipoma ketika ditemui di kediaman mereka di Taman Intan , Kluang. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

“SAYA diberitahu tempoh hayat isteri hanya 14 hari saja,” kata Ku Ahmad Azroy Ku Soh, 29, menceritakan penderitaan isterinya, Siti Nurul Atiqah Zainal, 27.

Siti Nurul Atiqah yang menghidap kanser kulit dan lipoma dibenarkan pulang ke rumah pada 23 September lalu selepas menjalani rawatan di Institut Kanser Negara (IKN) sejak pertengahan 2017.

Menurut Ku Ahmad Azroy, walaupun itu sebagai tanda tiada harapan untuk isterinya kembali sihat seperti biasa, namun dia tetap menggagahkan hati dan semangat untuk memberikan rawatan terbaik kerana yakin hidup dan mati adalah ketentuan Allah SWT.

Katanya, kini hampir sebulan isterinya berada di rumah dan sudah pun melepasi tempoh dua minggu mengikut jangkaan doktor, namun berbekalkan semangat kuat, isterinya yang juga bekas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) masih bernafas walaupun hanya mampu terbaring dan bergantung dengan ubat penahan sakit.

“Dia hanya tidur sepanjang waktu selepas keluar hospital bulan lalu dan apabila bangun, dia meracau tidak tentu hala sambil menangis menyebabkan saya terpaksa memberikannya ubat penahan sakit.

“Kanser yang dihidapi isteri dikesan pada hujung 2014, namun ia hanya sebesar jari kelingking di bahagian belakang badan dan usaha mengubatinya dilakukan dengan baik, namun meningkat ke tahap tiga dan membesar sehingga saiz tapak tangan,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga mentuanya di Taman Intan dekat Kluang.

Ku Ahmad Azroy yang juga anggota polis simpanan berkata, dia terpaksa berpindah ke rumah keluarga mentuanya kerana tidak mampu membayar sewa rumah selepas tidak bekerja sejak tiga bulan lalu untuk menguruskan isterinya sepenuh masa.

“Ibu dan ayah mentua semuanya bekerja, manakala anak tunggal kami berusia empat tahun tiada siapa menjaganya menyebabkan saya terpaksa berhenti kerja dan menguruskan keluarga terutama isteri.

“Saya hanya mengharapkan ibu dan ayah mentua untuk membantu membeli keperluan anak dan isteri termasuk lampin pakai buang serta ubat untuk mengubati kanser yang memakan hampir keseluruhan kulit bahagian belakangnya,” katanya.

Kini Ku Ahmad Azroy hanya mampu berdoa agar isterinya dapat disembuhkan dan bantuan orang ramai sangat diharapkan bagi menyediakan keperluan kesihatan terutama lampin pakai buang serta kelengkapan pencuci luka akibat kanser itu.

Bagi mereka yang bersimpati boleh menyalurkan bantuan di nombor akaun Bank RHB 11245760085031.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Oktober 2018 @ 1:38 PM