Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Sulaiman Md Ali bersarapan pagi di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah. FOTO ASYRAF HAMZAH
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama Sulaiman Md Ali bersarapan pagi di Kampung Pulau Semut, Masjid Tanah. FOTO ASYRAF HAMZAH
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Alor Gajah: Pembangunan berterusan menjadi antara agenda utama yang bakal dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Lendu apabila mandat dikekalkan kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kali ini.

Calon Dun Lendu Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, kawasan Lendu memiliki pelbagai potensi yang boleh dibangunkan, khususnya sebagai hab pendidikan bagi negeri ini.

Menurutnya, antaranya pusat kemahiran dan kolej baharu bagi membolehkan rakyat negeri itu meneruskan pengajian pendidikan di peringkat tinggi.

"Di Lendu kini ada universiti awam, kolej dan pusat kemahiran menjadikannya antara tumpuan pendidikan di Melaka. Projek pembangunan yang dilaksanakan akan diteruskan, malah Lendu juga akan dijadikan hab pendidikan dengan pelbagai institusi pendidikan akan dibawa ke sini.

"Pembangunan (pendidikan) ini akan diperkasakan bagi memastikan generasi akan datang mempunyai pengetahuan lengkap untuk memacu Melaka dan negara ke tahap lebih baik," katanya.

Beliau berkata, selain pendidikan, pelan untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur dan pembangunan belia juga diteruskan seperti yang dirancang sebelum ini.

"Infrastruktur dan jaringan jalan raya lebih baik juga menjadi tumpuan saya supaya keselesaan bukan saja dinikmati masyarakat di Lendu, malah mereka yang berkunjung ke daerah (Alor Gajah) ini.

"Ekonomi tempatan turut tidak dilupakan, malah akan diperkasakan khususnya bagi membantu rakyat meningkatkan semula pendapatan mereka pasca Covid-19," katanya.

Mengenai Melaka secara keseluruhan, Sulaiman yakin negeri ini mampu meningkatkan pendapatan daripada pelbagai aspek terutama pelaburan dan industri pelabuhan.

"Kedudukan negeri ini di Selat Melaka yang sibuk dengan aktiviti perkapalan perlu dimanfaatkan sepenuhnya dan ia bakal membawa manfaat ekonomi kepada rakyat.

"Pelabuhan boleh dibuka di Melaka seterusnya memberikan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan pada masa sama juga pendapatan kerajaan negeri bertambah dan ia akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam pelbagai bentuk," katanya.

Sulaiman yang juga penyandang kerusi Dun Lendu, dicabar Mohamad Asri Ibrahim daripada Pakatan Harapan (PH) dan Abdullah Mahadi (Perikatan Nasional).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 November 2021 @ 2:21 PM