GAMBAR kenangan Zayn Rayyan bersama adiknya, Mateen ketika sambutan hari raya Aidilfitri, tahun lalu. FOTO ihsan Ismanira
GAMBAR kenangan Zayn Rayyan bersama adiknya, Mateen ketika sambutan hari raya Aidilfitri, tahun lalu. FOTO ihsan Ismanira
Raja Noraina Raja


Kuala Lumpur: "Saya memang sangat sedih apabila Zayn tiada di sisi menjelang Ramadan ini," luah Ismanira Abdul Manaf, 29.

Ibu kepada kanak-kanak lelaki autistik, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dibunuh pada 6 Disember lalu itu berkata, banyak kenangan indah bersama Zayn yang sukar dilupakan.

Menurutnya, sejak kecil arwah Zayn sering bangun pagi untuk bersahur bersama dia dan suami, meskipun belum memahami konsep berpuasa.

"Saya pasti akan rindukan kenangan menyediakan juadah berbuka bersama Zayn. Biasanya semasa saya sedang memasak di dapur, Zayn paling tak sabar menunggu masakan siap.

"Dia (Zayn) akan tunggu depan pintu dapur sambil kepalanya menjenguk masakan saya.

"Kami sekeluarga juga pasti akan rindukan kenangan berbuka bersama Zayn di restoran kegemarannya kerana dia sangat suka berbuka di luar bersama keluarga, selain ke bazar Ramadan," katanya kepada Harian Metro.

Ismanira aktif berkongsi catatan dan gambar kenangan bersama anaknya di laman sosial Instagram, sebagai melepaskan kerinduan terhadap anak sulungnya itu.

Ibu kepada dua anak itu turut kerap berkongsi gambar dan hantarannya menziarahi kubur Zayn.

Bercerita lanjut, Ismanira berkata, bulan Ramadan akan mengingatkannya kepada sambutan hari raya Aidilfitri yang sebelum ini disambut meriah bersama keluarga.

"Setiap tahun sayalah paling teruja membuat persiapan rapi buat anak. Zayn dan adiknya, Mateen mesti sedondon tidak kira baju melayu, pakaian kasual mahupun kasut, semuanya saya pilih sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 3:43 PM