Ismanira Abdul Manaf (kanan).
Ismanira Abdul Manaf (kanan).
Suharmin Yusuf

Petaling Jaya: Ibu kepada Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matiin semalam sekali lagi berkongsi kerinduannya kepada anaknya itu dengan memuat naik gambar pintu bilik kanak-kanak terbabit bersama seorang lagi anaknya di akaun Instagram (IG) miliknya.

Ismanira Abdul Manaf, 28, menerusi hantarannya itu menunjukkan gambar pintu bilik yang bertulis nama 'Zayn Zahin' iaitu tempat tidur arwah Zayn Rayyan sebelum ini bersama adiknya.

Ismanira turut memuat naik sekeping gambar lama dia bersama Zayn dengan pesanan meruntun jiwa ditujukan kepada 'anak syurganya' hari ini.

"Tiada siapa yang tahu betapa besar rasa sayang ibu kepada Zayn.

"Setelah semua ini, hanya Zayn satu-satunya yang tahu isi hati ibu." yang dimuat naik di IG miliknya bagi menggambarkan perasaan sedih atas kehilangan Zayn Rayyan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Zayn Rayyan, 6, ditemukan meninggal dunia di saliran air kira-kira 200 meter dari Apartment Idaman, Damansara Damai di sini, pada 10 malam Rabu lalu.

Sebelum itu, kanak-kanak istimewa itu dilaporkan hilang pada Selasa lalu dan dikatakan kali kali terakhir dilihat memasuki kawasan belukar berhampiran apartment berkenaan.

Kanak-kanak berusia enam tahun terbabit disedari hilang oleh ibunya ketika menaiki tangga untuk pulang ke rumah mereka di tingkat tiga apartment berkenaan pada 12.30 tengah hari.

Berikutan penemuan mayat kanak-kanak itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematiannya diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2023 @ 12:47 PM