TANGKAP layar hantaran Insta Story dalam IG Ismanira. FOTO IG izzmanaf
TANGKAP layar hantaran Insta Story dalam IG Ismanira. FOTO IG izzmanaf
Suhanna Iskandar


Kuala Lumpur: "Sampai sekarang, bila teringatkan (arwah) Zayn (Rayyan, 6), menantu (Ismanira Abdul Manaf, 28) akan melepaskan rindunya dengan memuat naik gambar Zayn di Instagram (IG) miliknya.

"Emosi anak saya (Zaim Ikhwan, 28) dan menantu masih tidak stabil," kata Zahari Mohd Reba, 55, datuk kepada kanak-kanak lelaki autistik, Zayn.

Zahari mengakui banyak perubahan pada anak lelakinya Zaim Ikhwan dan menantunya, Ismanira selepas kehilangan Zayn Rayyan Abdul Matiin.

"Perubahan emosi itu jelas kerana mereka lebih banyak duduk di rumah dan bersembang dengan keluarga terdekat sahaja. Ismanira juga makin kurang bergaul dengan jiran terdekat dan hanya menyendiri.

"Sebelum peristiwa 'gelap' ini berlaku, mereka sekeluarga sering keluar berjalan dengan arwah (Zayn) dan adiknya ketika hujung minggu tiba, tapi sekarang itu hanya tinggal kenangan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Buat masa ini, Zahari berkata, dia hanya mampu memberi sokongan emosi kepada anak dan menantunya itu.

"Cuma saya tengok selepas menunaikan solat, dia (Ismanira) akan menangis kerana rindu sangat dengan arwah Zayn. Selepas itu, dia akan memuat naik gambar Zayn untuk mengubati kerinduannya.

"Jika ada sesi kaunseling yang sesuai untuk mereka, kami akan ikhtiar supaya emosi mereka suami isteri akan lebih stabil," katanya.

Mengenai kes kematian Zayn, Zahari berharap polis dapat menjejaki suspek walaupun sehingga kini masih belum ada penanda siapa pembunuh kanak-kanak malang itu.

"Kami sentiasa berdoa moga-moga suspek diberkas dengan cepat.

"Saya percaya polis akan berjaya menangkap suspek yang bertanggungjawab membunuh cucu saya dengan kejam, sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah jua.

"Satu sahaja yang saya mahukan iaitu keadilan buat cucu saya, Zayn," katanya.

GAMBAR kenangan Ismanira bersama Zayn. FOTO IG izzmanaf
GAMBAR kenangan Ismanira bersama Zayn. FOTO IG izzmanaf

Dalam pada itu, Ismanira memuat naik gambar terakhir dia memegang 'anak syurganya' di Intsa Story IG miliknya, hari ini.

"Inilah kali terakhir mommy (ibu) dapat pegang tangan abang (Zayn), kaki abang, dan kepala abang...Mommy pegang je (sahaja) abang sepanjang masa di dalam van jenazah."

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kematian Zayn diklasifikasi sebagai kes bunuh selepas bedah siasat menemukan kecederaan pada leher dan badan kanak-kanak itu.

Mayat Zayn ditemukan di saliran air berdekatan takungan air 200 meter dari rumahnya di Apartmen Idaman, Damansara Damai, di sini, kira-kira 10 malam, 5 Disember lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2023 @ 2:07 PM