ISMANIRA Abdul Manaf berkongsi gambar melawat kubur anak, Zayn Rayyan pada Aidilfitri lalu. Foto Instagram izzmanaf
ISMANIRA Abdul Manaf berkongsi gambar melawat kubur anak, Zayn Rayyan pada Aidilfitri lalu. Foto Instagram izzmanaf
Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: "(Aidilfitri) Tahun ini kami pilih tema warna putih, sebab kami nak sama dengan warna pakaian terakhir Zayn, putih bersih suci macam Zayn," tulis Ismanira Abdul Manaf, 29.

Ibu kepada kanak-kanak lelaki autism, Zayn Rayyan Abdul Matiin yang dibunuh pada 6 Disember lalu itu berkata, lokasi pertama yang dikunjungi keluarganya pada Aidilfitri tahun ini adalah pusara anak kesayangannya.

"Selamat Hari Raya Aidilfitri Zayn. Maaf zahir dan batin ya sayang Mommy, kami rindu awak sangat-sangat Zayn.

"Mulai tahun ini, tempat pertama di pagi raya yang kami sekeluarga akan tuju bukan lagi kampung halaman seperti tahun-tahun yang lepas, kami akan ke rumah Zayn dulu.

"Jangan risau ya Zayn, rumah Zayn menjadi keutamaan kami," tulisnya di akaun Instagramnya, hari ini.

Ismanira turut meluahkan rasa sayangnya kepada Zayn dan menyifatkan kanak-kanak itu sebagai hero kecil mereka selain turut berharap pelaku jenayah terhadap anaknya menerima hukuman atas perbuatannya.

"It's okay Zayn sudah bahagia dekat syurga, lambat laun tertangkap jugalah pelaku durjana itu.

"Mommy memang marah yang teramat kepada si pelaku tetapi tak apa Allah ada, biar kirafah saja yang balas perbuatan terkutuknya itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 April 2024 @ 5:43 PM