FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kejatuhan nilai ringgit baru-baru ini, sebahagian besarnya adalah kesan susulan pengukuhan dalam dolar Amerika Syarikat (AS) dan ketidaktentuan pertumbuhan ekonomi China, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah berkata, faktor itu turut memberi kesan kepada mata wang serantau lain.

"Sejak Mac 2022, bank pusat AS menaikkan kadar faedah dengan mendadak dan agresif.

"Kadar dasar utama AS yang mulanya berada dalam julat 0 hingga 0.25 peratus pada Mac 2022 dan dinaikkan sebanyak 525 mata asas kepada julat 5.25 hingga 5.50 peratus dalam tempoh 16 bulan.

"Selain itu, negara seperti Filipina, Indonesia, Korea dan India turut memilih untuk meningkatkan kadar dasar utama mereka sebanyak 200 ke 450 mata asas ke paras yang lebih tinggi daripada Malaysia.

"Berbanding negara kita, peningkatan OPR (Kadar Dasar Semalaman)hanyalah sebanyak 125 mata asas daripada 1.75 peratus ke 3.00 peratus. BNM (Bank Negara Malaysia) juga pada 7 Mac lalu, masih mengekalkan kadar OPR pada 3.00 peratus untuk kali kelima berturut-turut," katanya semasa ucapan penggulungan ucapan Titah Diraja di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, peningkatan OPR yang lebih rendah berbanding negara lain antara sebab utama ringgit menurun berbanding negara terbabit.

"Perbezaan ketara dalam kadar faedah dengan Amerika Syarikat iaitu sebanyak 250 mata asas mendorong pelabur asing untuk mengalihkan modal mereka keluar daripada pasaran domestik ke pasaran yang memberikan pulangan lebih tinggi," katanya.

Beliau juga menyatakan, matlamat utama Jawatankuasa Dasar Monetari, BNM dalam menentukan kadar OPR adalah untuk menstabilkan harga dan memastikan pertumbuhan ekonomi yang mampan serta bukan untuk mengawal kadar pertukaran ringgit.

"Sekiranya OPR dinaikkan untuk mengukuhkan ringgit, ekonomi negara akan terkesan dan pelbagai pihak khususnya peminjam perlu membayar faedah lebih tinggi," katanya.

Menurutnya, kerajaan tetap memberi perhatian dan komited memastikan prestasi nilai ringgit berada pada tahap lebih baik dan mengukuh.

Katanya, antara langkah segera yang diambil adalah seperti BNM sentiasa memastikan pasaran pertukaran asing dalam negeri kekal teratur serta mengekalkan kestabilan kewangan.

"BNM juga terus memantau pasaran kewangan dan mengambil langkah perlu termasuk campur tangan dalam pasaran pertukaran asing untuk membendung pergerakan mata wang yang berlebihan.

"BNM turut memantau penukaran hasil eksport kepada ringgit oleh syarikat pengeksport selain terus menggalakkan penggunaan mata wang tempatan bagi penyelesaian eksport supaya kebergantungan terhadap dolar AS dapat dikurangkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2024 @ 3:31 PM